Bom lama masih aktif ditemui

No Image Caption
A
A
A
SARIKEI – Sebutir bom dipercayai tinggalan era perang dunia kedua yang masih aktif ditemui di kawasan perkampungan Ulu Kedup Jalan Agriculture, dekat sini, oleh seorang pekebun pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintedan Awang Arfian Awang Bujang berkata, bom itu ditemui dalam keadaan berkarat berukuran 43.18 sentimeter panjang; ukur lilit 35.56 sentimeter dengan berat antara satu hingga dua kilogram.

Menurutnya, semasa ditemui, masih terdapat wayar berwarna merah dan hitam bersambung pada badan bom itu.

Katanya, pengadu berusia 55 tahun yang tinggal di kawasan tersebut telah menemui bom tersebut semasa membersih sungai daripada sisa-sisa bahan kerja-kerja membaik pulih jambatan berhampiran lokasi bom itu ditemui dan membuat laporan polis pada 8.15 pagi semalam.

“Pasukan dari Unit Pemusnah Bom IPD Sarikei telah digerak ke lokasi untuk pengesahan dan tindakan lanjut. Bom tersebut dimusnahkan pada tengah hari Isnin,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ini kali kedua penemuan bom di kawasan berkenaan, kali pertama adalah pada November lepas.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi butir bom masih lagi aktif serta tertanam di dalam tanah di kawasan tersebut. Oleh itu kita minta orang ramai yang terjumpa objek-objek menyerupai bom segera melaporkan kepada polis untuk tindakan segera.

“Jangan cuba nak sentuh atau mengalih objek itu kerana dikhuatiri boleh meletup. Perubahan suhu dan cuaca persekitaran juga menyebabkan berlaku letupan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: