Pemuda lunyai dibelasah

Dua suspek membelasah mangsa di dalam longkang dalam krjadian di Kampung Batu 1, belakang MPK, Chukai.
A
A

KEMAMAN - Hanya kerana mahu meminjam wang sebanyak RM20 daripada bekas kekasih, seorang pemuda lunyai dibelasah dua lelaki di dalam longkang hingga cedera.

Rakaman kejadian itu turut tular di media sosial sejak beberapa hari ini.

Kejadian itu berlaku di Kampung Batu 1, belakang Pejabat Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Chukai, di sini, kira-kira jam 4.30 petang Ahad lalu.

Dalam rakaman video berdurasi seminit 37 saat itu, mangsa yang berusia 20 tahun turut merayu agar tidak dipukul tetapi tidak diendahkan kedua-dua lelaki terbabit yang salah seorang merupakan suami kepada bekas teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa kejadian datang ke rumah bekas teman wanitanya itu yang telah berkahwin untuk meminjam wang.

Katanya, mangsa sebelum itu memberitahu keinginannya untuk meminjam wang daripada wanita itu menerusi mesej yang dihantar.

"Setiba di pekarangan rumah tersebut, suami kepada wanita tersebut yang berusia 30-an dan adik lelakinya yang berusia 20-an bertindak menyerang mangsa.

"Mangsa dibelasah di dalam longkang dengan kedua-dua suspek juga bertindak menumbuk muka dan memijak badan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan kejadian itu, kakak mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Chukai.

Mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Kemaman ditahan di wad sebelum dibenarkan keluar.

Kata Mohd Said, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.