Dadah bernilai RM510,820 dirampas

Narenasagaran menunjukkan syabu yang dibalut dengan pembalut minuman teh.
Narenasagaran menunjukkan syabu yang dibalut dengan pembalut minuman teh.
A
A
A

GEORGETOWN- Polis berjaya merampas dadah bernilai RM510,820 dalam lima serbuan berasingan di dua kawasan di negeri ini beberapa hari lalu.

Dalam serbuan pertama, seorang lelaki ditahan ketika dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pelanggannya di Jelutong.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bersama 4,139 gram syabu bernilai RM207,000 yang dibungkus menggunakan pembalut minuman teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Suspek warga tempatan itu ditahan pada jam 8.30 pagi Sabtu lalu dipercayai ketika sedang perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggannya.

"Setelah diperiksa, kita mendapati sejumlah dadah jenis syabu dibungkus dengan pembalut minuman teh. Dadah berkenaan dirampas dan kereta Honda CRV bernilai RM40,000 yang dinaiki suspek juga disita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Jelasnya, suspek direman enam hari sehingga 24 Mei untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, dalam operasi kedua, polis membuat empat serbuan di kawasan Tanjung Tokong dan Jelutong.

"Dua daripada serbuan tersebut dibuat di kawasan luar manakala dua lagi di rumah. Satu serbuan dibuat pada jam 1 petang 19 Mei lalu dan berjaya menahan dua lelaki. Susulan daripada itu, tiga serbuan lagi dibuat pada jam 2.30 pagi, 21 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tiga serbuan itu pula, kita menahan empat lelaki. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah enam orang yang berusia lingkungan 23 hingga 34 tahun. Polis berjaya merampas 1,046 gram syabu bernilai RM156,900; 8,400 biji pil Eramin 5 (RM126,000); 444 biji pil ekstasi (RM13,320) dan 50.75 gram ketamin (RM7,600)," katanya.

Narenasagaran berkata, polis turut menyita wang tunai bernilai RM16,000 dan barang kemas bernilai RM9,655 dari kesemua suspek tersebut.

"Selain wang tunai dan barang kemas, kita juga menyita akaun bank bernilai RM7,250 dan empat buah kenderaan iaitu kereta Honda Civic; Proton Satria, Perodua Alza dan motosikal Yamaha 135LC. Kesemua kenderaan itu bernilai RM104,300.

"Dengan kedua-dua operasi itu, kita berjaya menahan tujuh lelaki dan merampas keseluruhan dadah bernilai RM510,820. Sementara nilai keseluruhan sitaan adalah RM177,205," katanya.

Beliau berkata, dua lelaki yang ditahan pada 19 Mei lalu itu direman tujuh hari sehingga 26 Mei ini manakala semua suspek yang ditahan pada 21 Mei direman tujuh hari sehingga 27 Mei.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.