Hormati hak Bumiputera, usah kritik membuta tuli

Abu Bakar
A
A

AMPANG - Pemimpin parti politik harus menghormati dan memahami Perlembagaan Persekutuan daripada membuat kenyataan membuta tuli mempersoalkan hak keistimewaan Bumiputera di negara ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, tindakan mempersoalkan perkara itu dianggap keterlaluan dan boleh mengundang prasangka negatif serta menggugat ketidakharmonian antara kaum.

Merujuk isu kuota Bumiputera di matrikulasi, beliau menegaskan ianya tidak harus dipolemikkan oleh mana-mana pihak apatah lagi menjadikannya sebagai isu perkauman kerana penetapan kuota yang sedia ada adalah adil bagi semua kaum.

"Ketika ini, kuota matrikulasi bagi Bumiputera adalah 90 peratus manakala 10 peratus lagi untuk bukan Bumiputera. Namun sekiranya kuota bagi Bumiputera tidak diisi, kekosongan tersebut diberi kepada bukan Bumiputera bagi setiap pengambilan.

"Jadi, ada apa masalah dengan kuota yang sedia ada? Jangan jadikan isu ini untuk meraih sokongan politik dengan mengapi-apikan sentimen perkauman. Hormatilah Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial serta prinsip keadilan sosial," katanya.

Abu Bakar ketika menyampaikan pek cenderahati ketika program berkenaan di Ampang semalam.
Abu Bakar ketika menyampaikan pek cenderahati ketika program berkenaan di Ampang semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Iftar Ramadan Bersama Ibu Tunggal, Warga Emas dan Warga Terpilih anjuran Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS) dan Bersatu Bahagian Ampang, semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Presiden Yayasan MAYS, Mohd Isa Mohd Saidi.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin MCA, Gerakan dan DAP menuntut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memohon maaf dan menarik balik kenyataan serta membidas beliau kerana mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.

Minggu lalu, portal berita melaporkan Maszlee sebagai berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

Kementerian Pendidikan juga mempertahankan dan melaksanakan dasar Kabinet berhubung kuota kemasukan pelajar ke matrikulasi dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senik selain menegaskannya pendirian itu atas dasar kepentingan rakyat.