Ibu sayu dengar pesanan suara terakhir arwah Faziani

Khatijah berkerusi roda meluahkan rasa rindunya pada Allahyarham Faziani ketika dikunjungi Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaccob (kiri).
Khatijah berkerusi roda meluahkan rasa rindunya pada Allahyarham Faziani ketika dikunjungi Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaccob (kiri).
A
A
A

TUMPAT - Luluh hatinya sebagai ibu. Manakan tidak, sangkaannya dialah yang akan pergi dahulu.

Namun perancangan ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancangan. Anak ketiganya Allahyarham Faziani Rohban Ahmah, 40, telah meninggalkan mereka semua.

Reda dengan semua ketentuan Yang Maha Esa, Khatijah Mirdin,67, berkongsi kisah pengasas produk Dnars itu yang memberikan pesanan suara kepada pengurus peribadinya.

Dia dah buat semua persiapan untuk sambut Aidilfitri. Daripada pakaian raya, duit raya, juadah dan biskut raya, semua dah dibuat awal untuk keluarga.

"Seperti biasa, daripada raya pertama hingga ketiga, semua juadah sudah ditempah. Itu memang dah jadi kelaziman kami sekeluarga menyambut bersama-sama," katanya.

Khatijah berkata demikian ketika ditemui di rumah Allahyarham Faziani Rohban Ahmad di Kampung Paloh di sini hari ini.

Katanya, semua itu Allahyarham sudah buat sejak awal Ramadan lagi.

"Dalam pesanan suara tu, arwah minta pengurus peribadinya buat menempah nasi dagang, nasi berlauk air dingin, nasi hujan panas sebagai menu keluarga itu pada hari raya pertama hingga raya ketiga dan pada hari raya keempat Allahyarham meminta adik-beradiknya memasak.

Artikel Berkaitan:

"Sambutan raya diteruskan seperti yang dirancang arwah, tetapi hati kami sedih beraya tanpanya," katanya.

Allahyarham Faziani Rohban Ahmah
Allahyarham Faziani Rohban Ahmah

Sayu menceritakan bagaimana anak ketiganya itu mahu dia segera tinggal di kediaman barunya itu.

"Arwah tergesa-gesa minta saya tinggal di rumah besar ini, dia bimbang saya tak sempat duduk di rumah yang mengambil masa empat tahun untuk siap.

"Dia khuatir saya pergi dulu disebabkan sering keluar masuk hospital kerana penyakit kencing manis, tapi rupanya... dia yang tinggalkan kami semua," katanya sebak.

Rumah yang dibina sejak empat tahun itu siap sekitar tahun lalu.

"Kami masuk rumah ni pada 15 Ramadan tahun lalu dan keluarga kami sentiasa berkumpul beramai-ramai kerana arwah suka sangat jamu makan," katanya

"Kami akan beraya mengikut perancangan dia, berkumpul anak beranak di rumah ini pada raya pertama nanti, seperti permintaannya walaupun dia sudah pergi meninggalkan kami semua," katanya.

Sementara itu, suami Allahyarham, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, berkata, anak-anak masih bersedih di atas kehilangan ibu mereka.

"Paling rindu, anak kami Aqiel Hakim Jasman,12, rindunya pada arwah sampai tak dapat masuk bilik mamanya.

"Saya ajak dia tidur bersama dalam bilik mama dia, tetapi dia tak boleh melangkah masuk, dia teringat pada arwah.

"Mujurlah semalam barulah dia dapat tidur di bilik mamanya itu," katanya.

Ahmad Shah Rizal berkata, dua lagi perancangan isterinya memberi sumbangan kepada anak yatim yang belum sempat dilaksana akan ditunaikan.

"Saya akan minta adik ke Bentong, Pahang untuk sempurnakan program arwah dengan Mudir Madrasah Darul Saadah Al Islamiyah, Kampung Lebu, Bentong, Pahang, Zahari Al Yamani.

"Pada 29 Mei ini pula, perancangan arwah untuk berbuka puasa bersama anak yatim dan pelajar pondok di Kota Bharu, tapi saya ubah buat di rumah sekali dengan tahlil arwah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Dnars Skincare maut kemalangan di Thailand

Pada Sabtu lalu, Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare Faziani Rohban Ahmad, 40, maut dilokasi kejadian dalam kemalangan membabitkan Toyota Estima dengan sebuah lori kira-kira jam 10.30 pagi di Pattani, Thailand.

Faziani bersama suami, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, dalam perjalanan ke pondok agama di kawasan itu untuk menyampaikan sumbangan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedemit Luar dekat Wakaf Bharu jam 10 malam.