Kerajaan digesa percepat bayaran BSH

Shahir
Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) menggesa kerajaan agar dapat membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) secepat mungkin kepada penerima yang layak.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata menjelang sambutan Aidilfitri, kerajaan sewajarnya membuat bayaran BSH pada bulan ini bagi meringankan bebanan rakyat yang memerlukan.

Mengikut jadual pembayaran sebelum ini, Shahir berkata kerajaan akan melaksanakan proses berkenaan melalui tiga fasa iaitu pada bulan Januari, Mei dan Ogos tahun ini.

"Adakah kerajaan lupa tentang janji pembayaran BSH kepada rakyat pada bulan ini? Ataupun adakah berpura-pura lupa dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal dipersalahkan lagi?

"Kerajaan perlu bertimbang rasa kepada rakyat dengan mempercepatkan bantuan BSH ini agar rakyat sekurang-kurangnya dapat mengukir senyuman di hari raya nanti,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah dijenamakan semula kepada BSH selepas kerajaan PH mengambil alih pimpinan di negara ini pada PRU14 lalu.

Mengulas lanjut, Shahir berkata gesaan oleh pihaknya itu juga adalah susulan daripada pengumuman menteri sebelum ini yang memaklumkan tiada pembayaran bonus buat peneroka Felda dan Felcra pada perayaan kali ini.

"Bayangkan di saat harga sawit dan getah jatuh merudum, jualan pula tidak seberapa dan ini menyebabkan seluruh peneroka mengikat perut.

Artikel Berkaitan:

"Harapan terakhir mereka adalah bantuan BSH ini dan jangan hancurkannya seperti harapan-harapan lain dalam manifesto PH,"katanya.