KKM galak syarikat insurans sedia perlindungan penyakit mental

Boon Chye (dua, kiri) melihat seni ukir kayu tulisan Cina sempena Pameran Pendidikan Kebudayaan di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) hari ini.
Boon Chye (dua, kiri) melihat seni ukir kayu tulisan Cina sempena Pameran Pendidikan Kebudayaan di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) hari ini.
A
A
A

IPOH – [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan menggalakkan syarikat insurans di negara ini mengkaji dan menyediakan kemudahan insurans kepada pesakit kesihatan mental.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, selain menjadi antara masalah kesihatan utama di Malaysia, kos rawatan bagi penyakit itu juga adalah tinggi.

“Perlindungan insurans ini lebih kepada satu proposal perniagaan dan sebenarnya ia dikawal selia oleh Bank Negara bukan Kementerian Kesihatan, namun di pihak kementerian, kita amat menggalakkan supaya syarikat-syarikat insurans ini mengkaji dan memberikan liputan kepada penyakit mental.

“Tambahan pula sekarang ini rawatan untuk sakit mental mahal dan setiap konsultasi psikiatrinya walaupun hanya duduk bincang sahaja sudah mencecah ratusan ringgit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pendidikan Kebudayaan di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye yang menggesa Kementerian Kesihatan memberi fokus kepada lebih ramai pengamal perubatan dan mencadangkan agar liputan insurans disediakan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

Boon Chye berkata, perlindungan seumpama itu telah disediakan sebuah syarikat insurans di Singapura bagi lima jenis penyakit mental iaitu kemurungan utama, gangguan bipolar, skizofrenia, sindrom tourette dan gangguan obesesif kompulsif atau penyakit OCD.

Boon Chye (kanan) ketika melawat Pameran Pendidikan Kebudayaan di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) hari ini.
Boon Chye (kanan) ketika melawat Pameran Pendidikan Kebudayaan di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) hari ini.

“Sudah ada contoh syarikat insurans yang boleh menyediakan perlindungan untuk penyakit ini jadi kita harap pemain industri insurans dapat mempertimbangkannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perlindungan insurans bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai penyakit mental, tetapi menyediakan peluang dan sokongan pada ketika diperlukan.

“Dalam hal ini, kita juga memahami bahawa penyakit berkaitan kesihatan mental ini susah untuk ditentusahkan, ada kriteria diagnostik tertentu terutama bagi lima penyakit mental yang disebutkan itu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan pada 2015, kira-kira 29.2 peratus daripada 4.2 juta penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun dan ke atas mengalami pelbagai penyakit mental.

Katanya, data kesihatan mental remaja pada 2017 pula menunjukkan, 17.7 peratus remaja perempuan dan 18.9 peratus remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami masalah tekanan.

"Data ini dianggap tinggi dan ia satu trend yang tidak boleh diabaikan.

"Dalam menangani masalah kesihatan mental ini, kementerian sedang berusaha meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Kesihatan diminta fokus kepada insurans kesihatan mental