Bekalan gula, minyak, tepung cukup di Lahad Datu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LAHAD DATU - Bekalan seperti gula, tepung dan minyak masak di Lahad Datu, mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna menjelang musim perayaan ini.

Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Lahad Datu, Rino Hisham Abu Bakar berkata setakat ini tiada isu kekurangan bekalan barang kawalan mahu pun bahan makanan mentah dilaporkan pihak pengguna di daerah ini.

"Kami sentiasa melakukan pemantauan di semua peringkat bagi memastikan bekalan mencukupi, selain peniaga mematuhi peraturan ditetapkan," katanya dalam sidang media pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri dan Pesta Kaamatan di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

SHMMP Aidilfitri itu berkuat kuasa selama 27 hari bermula 21 Mei hingga 19 Jun depan, manakala SHMMP Kaamatan bermula 23 Mei hingga 5 Jun iaitu selama 14 hari.

Menurut Rino Hisham setakat ini semua berjalan lancar dan pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan aktiviti menyorok, menyeleweng atau menyeludup keluar barang kawalan.

Dalam pada itu, katanya KPDNHEP Lahad Datu turut menjalankan Ops Pakaian Raya 2019 yang berkuat kuasa sejak 13 Mei lalu dan berakhir esok, bertujuan memantau kenaikan harga pakaian raya yang kurang munasabah seperti baju kurung, kebaya, tudung, selendang, baju Melayu dan lain-lain.

"Sebanyak tujuh premis dipantau tetapi tiada tindakan diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rino Hisham berkata sepanjang Januari hingga April ini pihaknya menerima 24 aduan pengguna dan susulan itu 32 kes direkodkan dengan nilai rampasan RM6,960.34, selain kompaun RM5,500 dikeluarkan. - Bernama