Pekerja pencuci tayar lori didakwa khianat kereta pengarah penguatkuasa MPS

Yasifullah(kiri) dan Muhammad Asyraf (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini.
Yasifullah(kiri) dan Muhammad Asyraf (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini.
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMASKINI] Dua pekerja pencuci tayar lori didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api terhadap dua buah kereta milik Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Muhammad Yasifullah Abdul Gani, 30, dan Muhamad Asyraf Che Khalid, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan khianat dengan api dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan kepada harta milik Norhayati Ahmad, 40, iaitu dua buah kereta masing-masing jenis Honda HRV dan Honda Odyssey dengan anggaran kerugian RM500.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah Norhayati, di Taman Muhibbah, Rawang di sini pukul 12.44 pagi pada 13 Mei lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan ikat jamin RM10,000 masing-masing terhadal kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh Muhammad Yasifullah yang diwakili peguam Samreet Singh dan Muhamad Asyraf diwakili peguam Azman Abdullah memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana masing-masing hanya bekerja sebagai pencuci tayar lori dan turut menanggung keluarga. Rasyihah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.

Mereka turut dilarang mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Ahad lalu, akhbar melaporkan Pegawai kanan MPS menerima ancaman daripada individu tidak dikenali apabila kediamannya di Taman Muhibbah, dekat sini, dibaling cat dan molotov cocktail.

Artikel Berkaitan:

Mangsa Norhayati, mengesahkan kejadian pada 13 Mei lalu itu adalah yang kedua selepas ancaman pertama pada 28 April lalu.