PERKESO puji arwah Faziani majikan prihatin

Nora menyampaikan replika cek bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada Ahmad Shah Rizal di rumahnya di Kampung Paloh.
A
A

TUMPAT - Sifat terpuji Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, 40, sebagai majikan patut dicontohi apabila mencarum perlindungan keselamatan sosial kepada pekerjanya.

Syarikatnya, Rohban Trade Sdn Bhd patuh kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP 1969) bahkan Allahyarham sendiri selaku pemilik syarikat turut membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tanpa pengecualian.

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaccob berkata, Allahyarham adalah Ikon PERKESO Kelantan atas sikap keprihatinan dan kepatuhan membayar caruman.

"Keprihatinan pengasas produk kecantikan Dnars ini membuat caruman kepada pekerja dan mencarum pada diri sendiri adalah sesuatu yang terpuji.

"Nampak jelas arwah majikan yang amat prihatin dan patuh kepada akta kami.

"Kami cukup terharu dan sewajarnya arwah patut dijadikan contoh oleh pihak majikan yang lain," katanya kepada pemberita di rumah Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, di Kampung Paloh di sini hari ini.

Sebelum itu, Nora menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada suami Allahyarham, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42.

Nora berkata, Allahyarham memenuhi kelayakan untuk tuntutan Pencen Penakat sebanyak RM2,212 yang akan diterima oleh suaminya sehingga akhir hayat.

"Syer pencen bahagian anak-anak arwah pula sehingga anaknya seramai lapan orang berumur 21 tahun.

"Walaupun kami menyedari keluarga arwah adalah pemilik syarikat dan orang berkemampuan dan sentiasa menginfaqkan hartanya untuk kebaikan, namun sebagai pencarum PERKESO ia tetap hak arwah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shah Rizal berkata, dia bersama Allahyarham pemilik syarikat Rohban Trade Sdn Bhd amat menitikberatkan kebajikan pekerja.

"Terima kasih kepada PERKESO kerana tunaikan apa yang patut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Dnars Skincare maut kemalangan di Thailand

Pada Sabtu lalu, pengasas produk kecantikan Dnars Skincare Faziani Rohban Ahmad, 40, maut di lokasi kejadian dalam kemalangan membabitkan kenderaan yang dinaikinya Toyota Estima dengan sebuah lori kira-kira jam 10.30 pagi di Pattani, Thailand.

Faziani bersama suami, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, dalam perjalanan ke pondok agama di kawasan itu untuk menyampaikan sumbangan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedemit Luar dekat Wakaf Bharu jam 10 malam.