Peguam bebas tuduhan tipu jual beli hartanah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang peguam atas pertuduhan menipu dua pesara kerajaan berhubung jual beli hartanah, tiga tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar melepaskan Ab Gani Che Man, 69, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Hakim itu juga berkata tidak wujud elemen penipuan dalam kes tersebut.

“Selepas membuat penilaian, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub manakala tertuduh diwakili peguam N. Kalyana Sundaram.

Ab Gani didakwa menipu Mohamad Ali Abdullah dan Azman Yahya, dengan memperdayakan mereka bahawa tertuduh adalah seorang peguam yang bertauliah dan boleh mengendalikan urusan jual beli harta.

Tertuduh, yang juga pesara polis, didakwa dengan curangnya mendorong mangsa untuk menjual satu unit kedai dengan harga jualan RM680,000, yang mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Artikel Berkaitan:

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Desa Pandan, di sini pada 18 Ogos 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan alternatif iaitu sebagai orang yang mempunyai kuasa yang diamanahkan dengan wang berjumlah RM680,000, melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang itu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Firma Guaman Messrs Ab Gani Che Man & Co, di Desa Pandan, antara 20 Mac 2017 dan 28 April 2017. - Bernama