Pahang berkabung 40 hari

A
A

1. Pahang berkabung 40 hari

Kerajaan negeri mengumumkan hari ini sebagai cuti umum bagi Pahang dan tempoh berkabung selama 40 hari bagi memberi penghormatan terakhir kepada kemangkatan Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak berkata, tempoh berkabung itu ditetapkan bermula semalam.

Beliau juga mengarahkan semua acara dan program berbentuk hiburan yang dijadualkan di seluruh Pahang dibatalkan selain semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang.

Beliau turut berkata bagi tempoh perkabungan itu membabitkan rakyat selama 40 hari, manakala bagi kerabat Diraja pula selama 100 hari.

2. Jangan terus hukum individu direman kes bakar kereta mufti Perlis

Individu yang direman dalam kes kebakaran kereta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin tidak boleh terus dihukum sehinggalah polis menyelesaikan siasatan.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata semua pihak perlu menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak terus ‘menghukum’ individu-individu yang direman sehinggalah pihak polis selesai menjalankan siasatan mereka," katanya pada suatu kenyataan.

Beliau juga menyatakan keyakinannya terhadap pasukan polis dalam menjalan siasatan mengenai kes tersebut.

Menjelaskan lanjut, Syahredzan yang juga seorang peguam berkata keganasan bukanlah penyelesaian terhadap pertikaian.

Jabatan Amal Malaysia (JAM) semalam mengesahkan tiga anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan insiden membakar kereta Mufti Perlis pada 22 Mac lalu.

4. Bangunan dalam pembinaan runtuh: Dua cedera, seorang terperangkap

Tiga pekerja kontrak terlibat dalam kejadian runtuhan konkrit di sebuah bangunan dalam pembinaan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra, Terminal Gombak, Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Dua daripadanya cedera dihantar ke hospital manakala seorang lelaki warga Indonesia dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan itu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan itu jam 1.13 pagi hari ini.

Jurucakapnya memaklumkan, seramai 46 anggota dan pegawai kanan dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi.

5. Pengusaha mengeluh, jangka lambakan harumanis menjelang Aidilfitri

Kira-kira 70 orang pengusaha harumanis di Felda Mata Ayer, di Perlis resah kerana hasil tanaman mereka dikhuatiri bakal mengalami lambakan sehingga mencecah 10 tan, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Lambakan tersebut menyebabkan pengusaha tanaman kelompok di kawasan seluas 51.47 hektar itu, dijangka mengalami kerugian sehingga mencecah RM280,000 iaitu hanya dalam tempoh tidak sampai dua minggu lagi.

Lebih memburukkan keadaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dikatakan tidak dapat membeli dan memasarkan kesemua buah daripada pekebun, sebaliknya hanya mengambil yang berkualiti premium sahaja.

Senario tersebut mengakibatkan harga harumanis kini jatuh sehingga RM10 hingga RM15 sekilogram dan nilainya dijangka semakin turun selepas itu.