Kes bunuh Siti Kharina: Suspek utama disambung reman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis akan membuat permohonan lanjut reman ke atas suspek utama kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin di Mahkamah Sepang jam 10.30 pagi esok," demikian kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Beliau berkata, tempoh reman warga Nigeria itu akan tamat pada 24 Mei.

"Esok tempoh reman pertama selama tujuh hari suspek lelaki warga Nigeria itu akan tamat.

"Sementara reman dua lagi suspek, wanita Nigeria dan lelaki Pakistan telah disambung selama tujuh hari sehingga Rabu depan," katanya ringkas dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes bunuh jururawat: Aliwajuwon diberkas

Pada 17 Mei lalu, seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang dipercayai suspek utama pembunuhan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 16 Mei, polis menahan reman dua rakan suspek iaitu seorang wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan yang membawa kepada penahanan suspek utama.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 Mei, mayat Siti Kharina ditemui polis dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan ditemui mati dibunuh di sebuah unit kondominium di Cyberjaya.

Siti Kharina bertugas selama lima tahun di Hospital Serdang tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.