Kerajaan penuhi hasrat penduduk bina sekolah agama baharu

Mohamed Azmin bergambar bersama penduduk sempena Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri DUN Gombak Setia 2019, di Surau Jabal Nur semalam.
Mohamed Azmin bergambar bersama penduduk sempena Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri DUN Gombak Setia 2019, di Surau Jabal Nur semalam.
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan mengambil perhatian terhadap permintaan penduduk di Taman Sri Gombak yang mahu sekolah agama baharu di kawasan itu dibina untuk memenuhi keperluan anak-anak.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk tindakan segera.

Beliau melihat keperluan itu sebagai satu perkembangan positif dalam masyarakat yang turut mementingkan kerohanian dan agama dalam diri anak-anak terjaga.

“Permintaan untuk mendapat tempat di sekolah-sekolah agama semakin meningkat dan ada keperluan untuk kerajaan melihat bagaimana kita dapat membantu menyediakan sejumlah peruntukan bagi membangunkan sekolah-sekolah agama ini.

“Saya percaya Kerajaan Selangor bawah Amirudin Shari telah menunjukkan satu kepimpinan yang cukup baik bukan saja bersih, berintegriti tetapi menggunakan kekayaan negeri untuk memastikan pembangunan institusi umat Islam terus terbela dan terpelihara sama ada masjid, surau mahupun sekolah-sekolah agama.

“Saya akan membantu melihat pembangunan-pembangunan ini dapat berjalan dengan baik dan lancar dan perbincangan akan dibuat memastikan pembangunan ini dapat dijalankan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri DUN Gombak Setia 2019, di Surau Jabal Nur, di sini semalam.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak terbabit dengan aktiviti ekstremisme yang akan membawa imej buruk di mata orang bukan Islam.

“Umat Islam perlu berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keadilan, walaupun berdepan cabaran dari dalam mahupun luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Ramadan adalah masa terbaik untuk menggilap prinsip ini ketika berdepan cabaran yang makin getir tidak kira dalam isu politik mahupun ekonomi,” katanya.

Terdahulu seramai 500 penerima dari kawasan DUN Gombak Setia menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Selangor.