Kelajuan internet bertaraf dunia pada harga berpatutan

No Image Caption
A
A
A
PUTRAJAYA - Tahun 2018 membuka lembaran baharu bagi era digital di negara ini apabila kerajaan PH mengumumkan pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), suatu langkah yang dilandasi iltizam untuk menghubungkan seluruh negara ini dengan infrastruktur berkualiti tinggi dan bertaraf dunia pada harga berpatutan.

Peranan utama untuk menjayakan pelan itu diamanahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan diterajui menterinya, Gobind Singh Deo, yang ingin melihat kesalinghubungan Internet di Malaysia dapat dinikmati setiap orang di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Gobind dipetik sebagai berkata, pada era digital ini, capaian terhadap Internet bukan lagi merupakan suatu kemewahan, tetapi suatu keperluan dan sebagai alat untuk menjamin kelangsungan hidup.

Sejurus dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind berkata, beliau akan berusaha bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati kesalinghubungan jalur lebar pada kelajuan yang bertambah sekali ganda daripada yang sedia ada serta pada kadar bayaran separuh daripada yang dikenakan terhadap mereka selama ini.

Menurut beliau, pelaksanaan NCFP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps melalui penggunaan spektrum 700 MHz.

Pelan itu juga menetapkan sasaran untuk mewujudkan perkhidmatan Internet berkelajuan Gigabit di kawasan perindustraian berimpak tinggi dan strategik terpilih menjelang 2020 dan di semua ibu negeri menjelang 2023.

Sementara itu, Putrajaya dan Cyberjaya, yang sudah pun dilengkapi rangkaian gentian optik, akan menjadi wilayah ujian 5G selama setahun bermula November 2018.

Gobind juga mengilhamkan cadangan agar capaian Internet dijadikan hak di sisi perlembagaan.

Beliau berkata, sekiranya hak terhadap capaian Internet dijamin oleh Perlembagaan, kerajaan negeri dan persekutuan akan lebih serius dalam usaha masing-masing untuk menyediakannya kepada setiap rakyat Malaysia.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), agensi di bawah kementerian berkenaan, telah melaksanakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) sejak 8 Jun (2018), bagi tujuan menurunkan harga jalur lebar talian tetap.

MSAP menetapkan harga siling borong yang boleh dikenakan pembekal perkhidmatan bagi kemudahan yang digunakan pengusaha telco runcit.

KKMM juga bercadang membangunkan ID digital kebangsaan bagi mewujudkan suatu platform penentusahan.

Pada Oktober, Gobind bagaimanapun berkata ID digital itu tidak bermaksud untuk menggantikan MyKad atau akan diwajibkan terhadap setiap orang.

KKMM juga mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya yang berperanan memudahkan pembangunan industri permulaan dan modal teroka.

Gobind berkata suruhanjaya dicadangkan itu akan menangani cabaran dihadapi industri berkenaan serta mencari penyelesaian yang boleh dijadikan sebagai dasar kerajaan.

"Sekiranya kita berbuat demikian, akan wujudlah sebuah pusat rujukan bagi menangani masalah yang dihadapi industri terbabit di semua peringkat," kata beliau.

Pada September, Gobind berkata Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 akan dipinda bagi mengetatkan beberapa peruntukan undang-undang yang sering kelihatan amat luas.

Sementara itu, bagi memenuhi harapan para peminat bola sepak di seluruh negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebuah agensi di bawah KKMM, menyiarkan 41 perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 melibatkan penajaan RM30 juta. - Bernama