Kereta rempuh pagar elak dicekup

Kereta yang dinaiki lima remaja merempuh pagar sebuah rumah dalam kejadian di Bandar Jengka kelmarin. (Gambar kecil: Norzamri)
Kereta yang dinaiki lima remaja merempuh pagar sebuah rumah dalam kejadian di Bandar Jengka kelmarin. (Gambar kecil: Norzamri)
A
A
A

MARAN - Lima remaja cedera apabila kereta yang mereka naiki merempuh pagar sebuah rumah di Taman Rantau Perintis, Bandar Jengka, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, kereta jenis Proton Saga yang dinaiki oleh lima remaja terbabit cuba melarikan diri ketika dikejar oleh kereta peronda polis.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden, Norzamri Abd. Rahman berkata, mereka dipercayai menjadi penonton aktiviti lumba haram di hadapan Gua Kota Gelanggi, Jerantut sebelum kejadian itu.

Menurutnya,sebaik menyedari kehadiran kereta peronda polis, kereta yang dinaiki oleh lima remaja itu memecut laju menuju ke arah Jengka dan memasuki kawasan perumahan itu.

"Kereta yang dipandu oleh remaja berusia 18 tahun itu hilang kawalan dan merempuh pagar salah sebuah rumah menyebabkan salah seorang penumpang mengalami cedera parah.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit berasal dari taman perumahan itu dan memandu tanpa lesen," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ujarnya,semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jengka untuk menerima rawatan dan pihak polis turut menjalankan ujian saringan air kencing namun keputusannya negatif.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyeru orang ramai agar tidak terlibat secara langsung atau menonton perlumbaan haram.

Sementara itu, pemilik rumah terbabit, Zulkarnaen Abdullah, 46, dan isterinya, Zaihaniza Mat Sohor, 46, terus terjaga sebaik mendengar dentuman itu yang turut disertakan dengan siren peronda polis.

Guru Sekolah Jengka 21 itu memberitahu, dia yang tinggal berdua di rumah berkenaan terus terjaga dari tidur dan terkejut apabila melihat pagar rumahnya terbalik dirempuh kereta jenis Proton Saga.

"Mereka mungkin melarikan diri daripada polis dan memasuki kawasan perumahan ini agar tidak dapat dikesan namun sebaliknya ditimpa kemalangan pula," jelasnya.

Tambahnya, dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Jengka berhubung kejadian terbabit.