Orang ramai beri penghormatan terakhir di Istana Abu Bakar

Orang ramai tidak putus-putus memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di balairong Istana Sultan Abu Bakar di sini, hari ini
Orang ramai tidak putus-putus memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di balairong Istana Sultan Abu Bakar di sini, hari ini
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai mula memenuhi pekarangan Istana Sultan Abu Bakar, Pekan sejak 8 pagi tadi, bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Jenazah Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah yang mangkat, semalam.

Rakyat jelata segenap lapisan kaum dan agama dilihat berada di situ sejak malam tadi lengkap berpakaian baju Melayu dan bersampin hitam untuk lelaki manakala wanita mengenakan baju kurung serta tudung hitam.

Orang ramai diberi peluang menziarah penghormatan Almarhum Tuanku sejak 10 malam tadi sehingga jam 11 pagi ini.

Bagi tetamu kenamaan pula, penghormatan terakhir dilakukan bermula 11 pagi sebelum jenazah Almarhum dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan untuk disolatkan.

Dari Istana Sultan Abu Bakar, jenazah Almarhum akan dibawa bersemayam di atas pedati Diraja oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Selepas solat jenazah dilakukan, jenazah kemudian akan diiring ke Makam DiRaja Pekan untuk Istiadat Pemakaman.

Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, dia bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 5 pagi untuk sesi penghormatan terakhir.

"Saya sedih dan berasa satu kehilangan besar, saya sentiasa teringat pesanan Almarhum supaya memimpin koperasi dengan baik dan menjaga institusi orang Melayu itu,"katanya.

Artikel Berkaitan: