Majikan bukan Islam selalu ingatkan pekerja solat

Samy (duduk tiga dari kanan) dan Harumaini bersama pekerja serta keluarga ketika majlis berbuka puasa di Akademi Memandu PS Samy di Ampang Pecah di sini.
A
A

KUALA KUBU BHARU - Pekerja beragama Islam di Akademi Memandu PS Samy bersyukur apabila majikan mereka mengutamakan kebajikan pekerja tanpa sebarang budaya diskriminasi walaupun berbeza kaum dan pegangan agama.

Seorang pekerja, Mohd Saad Abdul Rahman, 66, berkata, dia bekerja di pusat latihan memandu itu sejak 2009 selepas bersara dari Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menurutnya, meskipun majikan bukan Islam namun pekerja Islam tiada halangan masa untuk menunaikan solat pada waktu bekerja termasuk solat Jumaat.

"Surau juga disediakan dan memudahkan pekerja serta pelanggan menunaikan tanggungjawab malah majikan sendiri selalu mengingatkan kami bersolat.

"Setiap tahun, majikan akan adakan program berbuka puasa bersama keluarga pekerja selain memberi duit raya kepada anak-anak dan barang keperluan harian.

"Ramai pekerja terdiri daripada pesara kerajaan atau swasta yang membantu orang ramai yang kurang berkemampuan untuk mengambil lesen kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berbuka puasa yang turut dihadiri ADUN Batang Kali, Harumaini Omar di pusat latihan memandu itu di sini semalam.

Pengarah urusan akademi, Datuk P S Samy berkata, program berbuka puasa dianjurkan setiap tahun sejak pusat latihan itu ditubuhkan pada 1995.

"Majikan bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja tanpa mengira kaum atau agama sebaliknya meraikan perayaan dianuti mereka sebagai sebuah keluarga.

"Ini adalah budaya kerja yang kita amalkan dan saya gembira apabila pekerja juga gembira tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada agama," katanya.