Kerajaan lulus projek baik pulih kemudahan asas di Parlimen Rasah

Kee Chin ketika melawat projek penyelengaraan kemudahan asas di Taman Bukit Chedang Fasa 2.
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 22 projek baik pulih dan penyelenggaraan kemudahan asas melibatkan peruntukan RM430,000 di Parlimen Rasah telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, projek berkenaan merupakan projek berskala kecil bernilai RM20,000 yang dibangunkan melalui Program Mesra Rakyat (PMR) di bawah peruntukkan Ahli Parlimen berjumlah RM2 Juta.

“Antara projek telah diluluskan termasuk lima Tabika Perpaduan, sebuah Pusat Komuniti, dua balai raya dan selebihnya adalah sekolah.

“Projek ini melibatkan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Pejabat Daerah Seremban dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sebagai agensi pelaksanaan," katanya pada lawatan kerja projek di bawah Parlimen Rasah di Pusat Komuniti,Taman Bukit Chedang Fasa 2 semalam.

Beliau berkata, 10 daripada 22 projek itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dalam pada itu, Kee Chin berkata, beliau percaya kerajaan juga menitik beratkan prasarana terbaik untuk guru dan pelajar kerana projek turut melibatkan turut melibatkan institusi pendidikan. “Peruntukan ini juga diberi bagi membantu kerja-kerja baik pulih sekolah, sesuai dengan dengan anjakan taraf pendidikan khususnya sekolah rendah dan menengah.

“Antara sekolah yang mendapat manfaat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rasah Jaya, SK Puteri, SK Lb Johnson, SK Jijan dan SK Labu Ulu," katanya.