Penutupan jalan bagi Istiadat Pemakaman Sultan Ahmad Shah

A
A

KUANTAN -Beberapa jalan utama di daerah Pekan akan ditutup bagi melancarkan pergerakan ke Makam Diraja Pekan untuk Istiadat Pemakaman Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superitendan Kamarulzaman Jusoh berkata, jalan ditutup sepenuhnya ialah simpang masjid Sultan Haji Ahmad Shah menuju ke arah Jalan Sultan Ahmad.

Menurutnya, dua lagi jalan ditutup adalah Jalan Sultan Ahmad Shah melalui Istana Sa'adah sehingga Jalan Teng Quee dan Jalan Tok Tuan berhampiran Istana Sa'adah.

"Penutupan jalan tersebut dilakukan secara penuh bermula jam 8 pagi bagi memastikan istiadat pemakaman Almarhum Paduka Ayahanda Sultan berjalan dengan lancar.

"Kita juga melakukan penyuraian trafik bagi kenderaan berat bagi laluan dari Kuantan dan Rompin menuju ke arah Pekan,"katanya dalam satu kenyataan.

Kamarulzaman berkata jalan terlibat dalam penyuraian traffik adalah Simpang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan simpang Jalan Tanjung Lumpur dan Kampung Sungai Soi yang akan dilencongkan ke arah Gambang.

Menurutnya, manakala jalan di Simpang Kampung Lamir akan ditukar arah melalui Pahang Tua di samping Simpang Masjid Sultan Haji Ahmad Shah dan Hospital Pekan dilencongkan ke arah Batu Balik sebelum meneruskan perjalanan melalui Jalan Kuantan-Segamat.

"Manakala bagi arah Rompin ke Pekan, Simpang Medan Selera Kampung Leban Chondong akan dilencongkan ke arah Muadzam Shah.

"Dan bagi jalan dari Simpang Pejabat Risda Pekan akan ditukar jalan yang dilencongkan ke arah Bandar Pekan melalui Jalan Engku Muda Mansur atau Jalan Sultan Abu Bakar yang menuju ke arah Batu Balik,"katanya.