Kenyataan menembak Dr Maszlee tidak wajar

Syed Saddiq meluangkan masa bergambar bersama anak muda selepas Konsultasi Kementerian Belia dan Sukan bersama belia di SK Dato' Shaari di Kubang Rotan, di sini tadi.
Syed Saddiq meluangkan masa bergambar bersama anak muda selepas Konsultasi Kementerian Belia dan Sukan bersama belia di SK Dato' Shaari di Kubang Rotan, di sini tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kenyataan menembak melibatkan isu kuota matrikulasi terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak seharusnya berlaku.

Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak menafikan kritikan yang membina berhubung sesuatu isu amat perlu.

Bagaimanapun beliau menyifatkan kritikan yang diberikan tidak masuk akal seperti isu sekarang.

"Saya rasa keputusan Kabinet adalah muktamad dan perkara seperti ini perlu dibincang dalam Kabinet. Kita sekarang dalam kerajaan, bukan lagi pembangkang.

"Tembak-menembak ini tidak patut berlaku," katanya selepas Konsultasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama belia di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Shaari di Kubang Rotan, di sini, tadi.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Cuan How yang menuntut penarikan balik kenyataan dikeluarkan Maszlee berkaitan isu kuota matrikulasi dengan keperluan fasih bahasa Mandarin.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima cadangan DAPSY kepada Dr Maszlee

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau tetap akan mempertahankan bukan hanya Maszlee tetapi juga keputusan Kabinet yang telah diputuskan bersama untuk kepentingan semua rakyat.

"Malaysia yang berbilang bangsa dan agama memerlukan sistem yang adil yang dapat memenuhi cita rasa seluruh rakyat dan memberikan penekanan khusus untuk membela masa depan anak muda yang datang dari keluarga miskin.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak boleh lupa perkara itu," katanya.

Beliau berkata lagi, isu matrikulasi berkenaan telah dimuktamadkan melalui keputusan konsensus bersama dalam jemaah Menteri, yang mana ia merupakan isu paling mustahak sekali.

"Keputusan itu merupakan keputusan bersama. Jikalau pihak DAPSY tidak bersetuju, boleh tanya menteri-menteri mereka yang juga dalam jemaah Menteri," katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau menganggap isu yang mustahak ialah memastikan semua pihak khususnya datang dari golongan B40 dibina dan dibantu.

Menurut beliau lagi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menekankan konsep kebersamaan bersama bersempena setahun kerajaan PH, baru-baru ini.

"Isu pendidikan adalah jalan untuk menyamakan kedudukan supaya akhirnya kita dapat membangunkan bersama.

"Jadi, keputusan Kabinet adalah keputusan muktamad," katanya.

Sementara itu, DAPSY Kebangsaan menggesa Maszlee menarik balik kenyataan yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin yang disifatkan bersifat peribadi.

Sebelum ini, Mazlee didakwa mengeluarkan kenyataan di hadapan penuntut-penuntut Universiti Sains Malaysia berkaitan isu kuota matrikulasi bukan Bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan tidak boleh dilihat secara terpisah.