Pusat hiburan guna GRO tarik pelanggan digempur

Antara yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, malam tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Besi yang disyaki menggajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) sebagai tarikan lelaki hidung belang digempur pihak berkuasa, semalam.

Ops Noda dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kira-kira 11.20 malam.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, seramai 12 GRO warga asing berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun bersama seorang lelaki tempatan merupakan pengurus premis ditahan.

"Semakan mendapati enam GRO terbabit adalah warga China dan selebihnya warga Vietnam.

"Mereka ini akan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, tiga pengunjung lelaki berusia 36 hingga 38 tahun turut dikesan positif dadah hasil pemeriksaan terhadap 40 pengunjung pusat hiburan terbabit.

Katanya, ketiga-tiga pengunjung ini akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953.

Mengulas tentang pembabitan GRO di premis terbabit, Rohazah berkata, pengunjung akan ditemani GRO dengan bayaran tip serendah RM50 sehingga RM100 dan bayaran ini boleh mencecah RM250 bagi tempoh empat jam.

"Siasatan masih dijalankan dan polis akan terus menjalankan operasi dalam usaha melumpuhkan kegiatan serta aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Antara yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, malam tadi.
Antara yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, malam tadi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia