Mufti Perlis mohon maaf

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf berhubung penyebaran dua gambar suspek yang ditahan polis berhubung kejadian membakar kenderaannya, baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dibuat selepas pengendali laman Facebook Mohd Asri memuat naik gambar suspek dan mengaitkan suspek yang merupakan anggota Jabatan Amal Pas dengan parti itu serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini.

Mohd Asri berkata, kewujudan seseorang dalam sesuatu gambar tidak menunjukkan beliau bersetuju dengan tindakan orang lain dalam gambar tersebut apatah lagi orang ramai gemar bergambar terutama bersama tokoh dan individu ternama.

Namun katanya, jika tindakan seseorang itu terbukti berasaskan cadangan atau hasutan seseorang tokoh, maka barulah tokoh itu boleh dikaitkan.

"Untuk status admin (pengendali) page sebelum ini yang meletakkan dua gambar suspek yang dikaitkan dengan jenayah membakar kereta saya dan cubaan menyimbah asid hendaklah dinilai dalam konteks tersebut.

"Untuk itu saya mewakili page ini memohon maaf jika ada persepsi yang salah diberikan sebelum laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikeluarkan berkaitan isu ini. Kita hendaklah menunggu kenyataan rasmi PDRM," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Gambar itu katanya, walaupun bersumber dari media sosial suspek sendiri, ia boleh memberi tafsiran yang negatif kepada pihak lain kerana gambar mereka berdua kelihatan bersama Abdul Hadi.

"Secara peribadi, saya percaya Presiden Pas dengan kedudukan beliau, tidak mungkin memberikan arahan jahat seperti itu. Pihak lain mungkin patut disiasat termasuk unit amal berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini mengecam pengendali Facebook Mohd Asri sambil menyifatkan ia sebagai ‘sangat-sangat tidak bertanggungjawab’ dan 'tidak berakhlak'.

Katanya, pengendali itu tidak wajar berbuat demikian sedangkan kes masih disiasat polis.

Terdahulu, tiga suspek dari Jabatan Amal Pas ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan berkenaan.