Nelayan Kemboja jatuh bot diselamatkan

Mangsa (tengah) diselamatkan kru pelantar minyak Pulai Alfa.
Mangsa (tengah) diselamatkan kru pelantar minyak Pulai Alfa.
A
A
A

KEMAMAN - Selepas lebih 24 jam terapung di laut akibat terjatuh dari bot nelayan yang dinaiki dari Pattani, Thailand, seorang nelayan warga Kemboja berjaya diselamatkan kru sebuah pelantar minyak malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mangsa, Avir Mat Saha Sakirin, 29, ditemui terapung oleh kru pelantar minyak Pulai Alfa kira-kira jam 11 malam pada kedudukan lebih kurang 138 batu nautika dari Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), Teluk Kalong.

Katanya, ketika ditemui, nelayan yang terjatuh dari bot nelayan negaranya tidak memakai baju dan hanya berpaut pada pelampung sebelum diselamatkan.

"Tindakan pantas pihak pelantar minyak menerusi pasukan penyelamat pelantar minyak itu, Fast Team Crew Pulai Alfa menyelamatkan mangsa yang masih hidup dan didaratkan di atas kapal 'Offshore Jati 8'.

"Mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri diberi bantuan dan penjagaan sewajarnya oleh pihak kapal terbabit sebelum dibawa ke KSB," katanya.

Avir Mat Saha Sakirin
Avir Mat Saha Sakirin

Menurut Rashidilhadi, mangsa tiba di KSB pada jam 9.30 pagi tadi sebelum diserahkan kepada APMM Zon Maritim Kemaman untuk tujuan siasatan dan dokumentasi.

Katanya, pihak kedutaan Kemboja telah dihubungi untuk tujuan pengesahan dan seterusnya membawa mangsa pulang ke negara asal dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dan telah diberikan rawatan biasa disebabkan terapung di laut untuk tempoh yang lama," katanya.

Berikutan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan sebarang perkara buruk terjadi dan menyalurkan maklumat berkenaan sebarang kecemasan di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-622 4357.