Lelaki tak sedar perbuatan curi coli dirakam CCTV

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki melarikan pakaian dalam wanita yang dijemur di beranda sebuah rumah di Kampung Ladang Titian awal pagi kelmarin.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki melarikan pakaian dalam wanita yang dijemur di beranda sebuah rumah di Kampung Ladang Titian awal pagi kelmarin.
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang lelaki mencuri pakaian dalam dan selipar milik seorang wanita di sebuah kediaman di Kampung Ladang Titian di sini, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Kejadian kira-kira jam 3 pagi, Isnin lalu berlaku ketika penghuni rumah berkenaan sedang nyenyak tidur dan rakaman CCTV yang memaparkan aktiviti tidak bermoral lelaki berkenaan mula disebarkan serta menjadi tular di media sosial, sejak semalam.

Video rakaman berdurasi 58 saat itu memaparkan dengan jelas seorang lelaki dewasa memakai kemeja T berwarna kuning perlahan-lahan memanjat anak tangga rumah berkenaan sebelum menuju ke arah pakaian yang sedang dijemur di beranda rumah.

Rakaman itu juga menunjukkan lelaki yang berselipar itu bertindak mengambil sehelai pakaian dalam wanita yang disangkut pada ampaian baju itu dan sebelum melarikan diri lelaki itu turut mengambil sepasang selipar dipercayai milik seorang wanita.

Sementara itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPKK) Flat Ladang Gemilang, Zamrus Omar berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan kampung tersebut.

"Setakat ini, tak ada lagi kita terima aduan berkaitan pakaian dalam yang hilang, mungkin ini kes yang pertama berlaku.

"Tuan rumah juga tak sangka pakaian dalam yang dijemur di beranda oleh ahli keluarganya menjadi sasaran sebab CCTV itu pada mulanya dipasang kerana aksesori keretanya pernah dicuri sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, penduduk dinasihatkan supaya peka terhadap aspek keselamatan dan memastikan pakaian dalam dijemur di dalam rumah pada waktu malam.

"Kita tak tahu selepas ini mungkin kejadian begini berulang. Saya harap semua penduduk dapat memastikan aspek keselamatan kediaman masing-masing terjaga supaya tidak memberi ruang kepada penjenayah melakukan jenayah," katanya.
Artikel Berkaitan: