Resort terima notis operasi 10 tahun tanpa kebenaran

Aminuddin pada sidang media, hari ini.
Aminuddin pada sidang media, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah resort yang beroperasi tanpa kebenaran sejak 10 tahun lalu di Jalan Pantai, di sini diberikan Notis Penyalahgunaan Perlanggaran Syarat Nyata Tanah Seksyen 125 Kanun Tanah Negara kerana membina bangunan di tanah pertanian untuk tujuan komersial.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kewujudan resort tersebut telah lama disedari, namun pada awal tahun ini pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang curiga dengan status resort berkenaan.

Mengulas lanjut katanya, resort tersebut telah dibina di tanah pertanian milik persendirian dan tidak mendapat kebenaran, menyebabkan kerajaan Negeri Sembilan kehilangan hasil negeri, selain keselamatan bangunan yang diragui.

“Hasil siasatan awal yang kita lakukan mendapati resort tersebut beroperasi tanpa kebenaran dan dibina secara haram tanpa kebenaran daripada kerajaan negeri, malah pembinaan resort itu di atas tanah yang berstatus pertanian adalah tidak dibenarkan.

“Selain itu kita juga dapati bilik-bilik di resort berkenaan dibina di kawasan yang tidak sesuai, di lereng dan cerun bukit yang mana boleh menjejaskan keselamatan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri, hari ini.

Tambahnya, perkara yang paling membimbangkan adalah pembinaan resort milik individu tempatan itu, dibuat atas lereng dan cerun bukit yang berbahaya, serta boleh mengundang bahaya, selain kehilangan hasil negeri.

Selain itu katanya, resort tersebut juga dipercayai menggunakan air sungai untuk kegunaan mereka yang mana tindakan itu merupakan satu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kata Aminuddin, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memantau perkara tersebut selain ingin memutihkan kawasan itu.

Jawatankuasa Khas ini akan diketuai oleh Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Negeri, Teo Kok Seong, bersama beberapa pegawai agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kita mahukan jawatankuasa ini melihat apa yang kerajaan negeri boleh lakukan berdasarkan peruntukkan undang-undang, mereka akan menyiasat dan memantau serta memberi konklusinya kepada kita untuk tindakan susulan.

“Kita berharap dapat melakukan pemutihan di kawasan itu pada masa akan datang demi kepentingan bersama,” katanya.