Peniaga lain masih beroperasi

Operasi lot gerai bersebelahan lot terbakar masih dibuka seperti biasa hari ini. Gambar kecil: Syed Yusoff
Operasi lot gerai bersebelahan lot terbakar masih dibuka seperti biasa hari ini. Gambar kecil: Syed Yusoff
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi perniagaan di lot-lot gerai yang tidak terjejas dalam kebakaran di Bazar Melayu Moden Jalan Masjid India semalam berjalan seperti biasa hari ini meskipun wujud kebimbangan struktur bumbung utama yang tidak selamat.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati lot gerai terletak bersebelahan dengan lot-lot yang terbakar dibuka seperti biasa.

Bagaimanapun laluan tengah di kawasan kejadian kebakaran ditutup dengan pengadang besi.

Salah seorang peniaga, Syed Yusof Abdullah, 59, berkata, peniaga-peniaga terpaksa beroperasi kerana bulan Ramadan hanya tinggal lagi dua minggu membolehkan mereka berpeluang mendapat jualan yang memberangsangkan.

Menurutnya, belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung pemindahan sementara peniaga-peniaga di situ memandangkan hari ini adalah cuti umum.

“Semalam pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama konsultan ada datang dan dimaklumkan terdapat struktur besi yang lemah akibat kebakaran yang berlaku.

“Tetapi peniaga terpaksa teruskan juga operasi hari ini sebab ini saja masa dan peluang untuk kami mendapat pelanggan menjelang Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian 1.35 pagi semalam, sekurang-kurangnya 30 lot gerai musnah dalam kebakaran yang dikatakan berpunca dari salah satu lot gerai.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang melawat lokasi kejadian semalam memaklumkan kesemua peniaga termasuk yang tidak terjejas perlu dipindahkan sementara kerana dikhuatiri struktur bumbung tidak selamat.

DBKL dalam kenyataan sebelum itu mencadangkan pemindahan sementara peniaga-peniaga terlibat dibuat ke Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) 3 dan 5 bagaimanapun bergantung kepada persetujuan majoriti.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, DBKL tidak membenarkan lot gerai di kawasan kebakaran beroperasi atas faktor keselamatan.

“DBKL akan ambil tindakan. Peniaga-peniaga sepatutnya tidak boleh beroperasi kerana jika bumbung jatuh dari atas, DBKL yang akan dipersalahkan,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan pemindahan sementara semua peniaga, beliau bagaimanapun berkata perkara itu masih dibincangkan oleh peniaga dan persatuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua peniaga kena pindah sementara: Khalid Samad