Peniaga bazar rayu MBSA benarkan berniaga

Peniaga bazar Ramadan Persiaran Atmosfera harap MBSA benarkan mereka beroperasi sepanjang Ramadan ini.
Peniaga bazar Ramadan Persiaran Atmosfera harap MBSA benarkan mereka beroperasi sepanjang Ramadan ini.
A
A
A

SUBANG - Kami cuma harapkan baki yang tinggal beberapa hari sahaja ini mencari rezeki untuk meraikan Aidilifitri, ini antara luahan 143 peniaga di bazar Ramadan Persiaran Atmosfera di sini.

Kesemua peniaga ini menjalankan perniagaan di jalan yang telah ditutup oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ekoran kerosakan jalan.

Bazar Ramadan ini kemudiannya telah disahkan haram kerana tidak mempunyai permit sah daripada pihak MBSA.

Peniaga, Razali Muhammad, 59, berkata, dia merayu agar pihak MBSA tidak mengambil tindakan terhadap gerainya serta gerai-gerai yang lain.

"Saya harap MBSA bersimpatilah dengan nasib kami, Aidilfitri tinggal tak berapa hari sahaja lagi, inilah peluang kami untuk mencari rezeki dengan berniaga di sini.

"Lagi pun jalan ini telah ditutup, jadi memang tak timbul soal bahayakan kepada pengguna jalan raya, keadaan cuaca kini pun tak menentu.

"Saya sebelum ini berniaga depan sikit dari sini, memang selalu kena saman, saya dengar mana-mana saman yang tak bayar, memang tak boleh dapat lesen, jadi kami pilih di sini tempat untuk kami berniaga," katanya.

Peniaga, Mohd Azril Saidin, 27, berkata, lokasi sedia ada mudah untuk pembeli berkunjung ke bazar Ramadan ini.

Artikel Berkaitan:

"Bukan saja orang nak datang senang, kami yang berniaga sini pun senang, tak payah pergi jauh, penganjur pun jaga kawasan dengan baik.

"Memang tak ada masalah dekat sini, jadi saya minta dan mohon sangat kepada pihak berwajib, agar benarkan kami berniaga di sini dan mudahkan urusan kami," katanya.

Peniaga, Md Ariffin Hakim, 54, berkata, dalam soal ini perlu ada kata sepakat di antara pihak yang menguruskan bazar ini dengan pihak MBSA.

"Sepatutnya MBSA menolong NGO yang mengendalikan bazar ini, kawasan ini sememangnya merupakan jalan yang ditutup, dan masa sama ia langsung tidak mengganggu penduduk sekitar bila ada bazar ini, malah lebih memudahkan sebenarnya.

"Jadi dalam soal ini sebenarnya MBSA perlu berterima kasih terhadap NGO yang mengadakan bazar ini, kalau perlu dilesenkan, lesenkah, buat secara yang sah untuk bazar ini beroperasi, itu seharusnya dilakukan oleh MBSA," katanya.

Setiausaha Persatuan Usahawan Bumiputera Gemilang, Zainurizzaman Moharam berkata, tujuan utama bazar ini diwujudkan adalah untuk membela nasib peniaga tempatan.

"Matlamat penubuhan NGO adalah membela nasib peniaga khususnya peniaga bazar Ramadan, dan hampir 80 peratus di Bazar Ramadan Persiaran Atmosfera ini merupakan penduduk tempatan yang tinggal sekitar kawasan ini.

"Kita telah memohon daripada MBSA, isu kontroversinya bazar ini dinamakan bazar haram di Malaysia, panggilan sangat negatif," katanya.

Katanya, peringkat awal pihaknya ada memohon tempat ini untuk dijadikan bazar Ramadan.

"Namun permohonan kami itu tidak dilayan, baru-baru ini dapat surat penolakan daripada MBSA di mana surat permohonan kami ditolak.

"Kami terima surat itu pada 16 Mei 2019, tetapi keesokannya tu MBSA terus datang untuk membuat operasi secara besar-besaran, bagi kami ia tidak adil sebab tidak sampai 24 jam kami menerima surat itu, MBSA telah datang dengan pasukan mereka dan mahu mengambil tindakan terhadap peniaga ini," katanya.

Jelasnya, dalam soal ini pihaknya berharap agar MBSA memberikan sedikit kelonggaran kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan.

"Dalam soal ini, tujuan dan niat utama kita adalah untuk membantu semata-mata, sebab yang berniaga disini, bukan orang senang, ada ibu tunggal, ada keluarga yang susah berusaha untuk keluar daripada kemiskinan dengan berniaga, jadi kami memohon kepada MBSA berilah peluang kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, MBSA menyatakan lokasi tersebut tidak mempunyai kebenaran dan permit untuk menjalankan perniagaan pada bulan Ramadan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Sharin Ahmad berkata, MBSA telah beberapa kali turun ke lokasi berkenaan untuk memaklumkan dan memberi nasihat kepada peniaga.

"MBSA memberikan nasihat supaya tidak menjalankan perniagaan kerana lokasi tersebut bukan tapak Bazar yang di luluskan oleh pihak MBSA.

"Sebelum Ramadan, MBSA telah mengenal pasti dan mengeluarkan permit mengikut lokasi yang telah dibenarkan," katanya.

Katanya, penjaja yang menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan ini perlu mematuhi syarat-syarat pelesenan dan kesihatan yang ditetapkan.

"Peniaga perlu mendapatkan suntikan anti typhoid, mendengar taklimat kesihatan dan peraturan penjaja bulan Ramadan yang diberikan oleh MBSS dan sebagainya.

"Kita tidak mahu penjaja yang tidak mempunyai suntikan ty2 sebagai contohnya dan mengabaikan kebersihan makanan dan akhirnya nanti makanan yang dijual tercemar dan boleh menyebabkan masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, MBSA memohon dan mengingatkan orang ramai agar menghormati undang-undang.

"Patuhilah peraturan yang ditetapkan agar masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan harmoni dan sejahtera," katanya.