Kerajaan Selangor ucap takziah kemangkatan Sultan Ahmad Shah

Amirudin menerusi Twitter merakamkan sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah hari ini
.
Amirudin menerusi Twitter merakamkan sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah hari ini .
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengucapkan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menerusi Twitter berkata, beliau mendoakan roh Almarhum baginda dicucuri rahmat ALLAH dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

"Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menitahkan bendera Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan esok.

"Ia sebagai tanda menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah," katanya.

Sultan Ahmad Shah, 88, yang Sultan Pahang ke-5 dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi tadi.

Almarhum menyerahkan takhta kepada Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu ekoran keadaan baginda yang gering ketika itu.

Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda.

Artikel Berkaitan: