Isu padang Stadium Hoki Nasional belum selesai

Datuk Seri Subahan Kamal - Foto Bernama
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) masih belum menyelesaikan masalah padang di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil di sini, walaupun perkara itu sudah berlarutan hampir setahun.

Difahamkan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sudah menulis surat kepada PSM agar menyelesaikan masalah itu awal tahun ini, berikutan padang di stadium berkenaan dalam keadaan tidak baik dan berisiko besar menyebabkan kecederaan terutama kepada pemain kebangsaan yang menggunakan venue tersebut sebagai gelanggang latihan.

Perkara itu disahkan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, sambil berharap PSM yang kini diketuai pengerusi baharunya, Tan Sri Tony Fernandes, akan bertindak pantas dalam menyelesaikan isu tersebut kerana stadium berkenaan akan digunakan sebagai gelanggang aksi Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang turut dikenali sebagai Siri Hoki Final pada April 2019.

Selain tuan rumah, Malaysia, saingan Siri Hoki Final dijadual berlangsung dari 26 April hingga 4 Mei depan itu, turut disertai Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China serta Brazil, dan dua pasukan teratas pada kejohanan berkenaan akan mara ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2020.

“Kita menulis surat kepada PSM meminta mereka membersihkannya pada awal tahun ini, dan masalah itu sudah berlarutan sejak padang tersebut dibaik pulih untuk Sukan Sea 2017. Ia agak kotor dan berminyak, dan keadaan padang yang berlumut menjejaskan dan berbahaya.

“Kita perlu bersihkannya kerana kita akan menganjurkan kelayakan Sukan Olimpik pada April depan. Kita melihat mereka menutupnya (padang berkenaan) untuk kerja-kerja membaik pulih bulan lepas, namun kerja mereka lakukan tidak memuaskan, benda kita mahu mereka bersihkan tidak dilakukan dengan baik.

“Kami (MHC) benar-benar berharap PSM yang kini mempunyai pengerusi baharu akan memandang serius terhadap perkara tersebut dan membantu kita untuk memastikan padang dalam keadaan baik untuk keselamatan pemain,” katanya.

Padang di Stadium Hoki Nasional digantikan sebelum berlangsung Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 pada Ogos, dengan kerja-kerja melibatkan penambahbaikan terhadap keseluruhan Kompleks Sukan Bukit Jalil, yang turut merangkumi Stadium Nasional, Pusat Akuatik Nasional dan Axiata Arena.

Padang hoki utama yang turut dikenali sebagai Stadium 1 boleh memuatkan sehingga 12,000 penonton, manakala kira-kira 1,000 orang boleh menyaksikan perlawanan di Stadium 2.

Kedua-dua padang tersebut diiktiraf Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) setelah kerja-kerja penambahbaikan terhadap stadium berkenaan disiapkan pada Julai tahun lepas.

Menurut sumber daripada syarikat bertanggungjawab terhadap pemasangan rumput tiruan di padang berkenaan, isu tersebut adalah semata-mata kerana masalah penyelenggaraan yang tidak baik. - Bernama