Miliki daging tak sembelih, pembantu kedai makan didenda

Mohd Zairi (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Majistret.
Mohd Zairi (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Majistret.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seorang pembantu kedai makan didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 153 kilogram daging lembu yang tidak disembelih di tempat yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, bulan lepas.

Tertuduh, Mohd Zairi Awang Hamat, 31, turut berdepan hukuman penjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pasar Borong Pandan di Jalan Pandan Ria Utama, Pusat Perdagangan Pandan, di sini, pada 3 April lepas kira-kira jam 11.10 pagi.

Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati lelaki berkenaan melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A 1452) yang mana telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Kaedah 17(pindaan) 2018, Kaedah yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Mohd Faiz Ajis.

Ketika kejadian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor telah membuat satu pemeriksaan ke atas pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Commonrail Turbo berwarna kelabu di lokasi berkenaan sebelum menemui 153 kilogram karkas lembu.

Semua karkas atau daging lembu itu ketika diperiksa tiada tanda selar atau legenda jabatan serta tiada Perakuan Kesihatan Veterinar dan Perakuan Kebenaran Sembelihan dari Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri Johor atau pegawai yang diberi kuasa olehnya dan disyaki telah disembelih di luar Rumah Sembelih yang diluluskan atau Rumah Sembelih dilesenkan.

Pemeriksaan lanjut mendapati daging berkenaan tidak sesuai dijadikan makanan manusia dan disyorkan untuk dilupuskan oleh Pegawai Veterinar Johor yang mana perintah mahkamah di bawah subseksyen 68(2) dan 68(3), Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A 1452) diperolehi bagi tujuan pelupusan dan tahanan lanjut ke atas barang kes yang ditahan.
Artikel Berkaitan:


Mohd Faiz dalam prosiding berkenaan turut memohon mahkamah mengenakan hukuman kesan berat ke atas tertuduh berikutan kesan makan daging berkenaan yang boleh menyebabkan penyakit tibi dan kemandulan.

Difahamkan tertuduh membayar denda yang dikenakan.