Sayap UMNO Bahagian Tebrau tidak setuju kenyataan Maulizan

Laporan Sinar Harian pada 20 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian pada 20 Mei lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sayap UMNO Bahagian Tebrau membuat ketetapan tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Bahagiannya, Datuk Maulizan Bujang baru-baru ini dan menganggap ia tidak mewakili suara akar umbi parti di bahagian tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal berkata, Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Tebrau membuat ketetapan kenyataan Maulizan yang mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk 'terus bercuti' dilihat sebagai langkah politik peribadi.

"Tiada keperluan untuk mengganggu presiden yang sedang bercuti daripada jawatan presiden dan telah pun serahkan tugas presiden kepada timbalan presiden.

"Malah pada ketika ini, isu kedudukan presiden ataupun peribadi Datuk Seri Ahmad Zahid tidak menjadi masalah besar buat UMNO sehingga perlu melakukan provokasi jahat menghasut dan memecahbelahkan perpaduan dalam UMNO," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Fauzi berkata, UMNO kini sedang dalam fasa kebangkitan dari kecelaruan kepimpinan selepas kekalahan dalam pilihan raya dan juga pemilihan parti.

"Fokus utama sebagai ketua bahagian adalah memberi khidmat bakti kepada rakyat di Tebrau supaya UMNO kekal relevan berbanding PH.

"Hentikan menggunakan media menyampaikan naratif politik peribadi. Ia tindakan tidak bertanggungjawab. Kenyataan provokasi begini hanya akan menyebabkan UMNO kembali ke fasa kecelaruan kepimpinan, bukan maju ke hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Tebrau, Rap'enah Ali berkata, tiada perbincangan dibuat di peringkat pegawai dan Ahli Jawatankuasa (AJK) sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Datuk Maulizan sebagai ketua bahagian perlu memberi sepenuh tumpuan kepada ahli-ahli serta menyatupadukan ahli-ahli bagi menghadapi PRU15 yang akan datang.

"Terdapat banyak kelemahan melibatkan ADUN Puteri Wangsa, YB Mazlan Bujang yang masih gagal ditangani oleh beliau sebagai ketua bahagian," katanya.

Menurutnya, keengganan Maulizan menegur ADUN Puteri Wangsa iaitu adik sendiri sebagai manifestasi kelemahan beliau sebagai pembangkang yang efektif di Parlimen Tebrau.

Terdahulu, Maulizan dalam satu kenyataan menyatakan Ahmad Zahid untuk 'terus bercuti' atau berhenti sebagai Presiden UMNO, dan tidak perlu mengacah untuk kembali memimpin parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini nasihat Tok Mat kepada UMNO Tebrau