Polis Indonesia guna gas pemedih mata surai himpunan

Polis Indonesia melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta himpunan yang berkumpul di bangunan Bawaslu di Jakarta, semalam. - Foto AFP
Polis Indonesia melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta himpunan yang berkumpul di bangunan Bawaslu di Jakarta, semalam. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Polis Indonesia dilaporkan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta himpunan di Jakarta semalam ekoran keputusan pilihan raya Indonesia yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Difahamkan, penyokong setia Prabowo Subianto yang tewas kepada Jokowi berhimpun di bangunan Badan Pengawasan Pemilihan Umum (Bawaslu) yang terletak di tengah ibu kota.

Himpunan yang disertai kira-kira 1,000 orang itu berakhir dengan aman namun pihak polis kemudian terpaksa melepaskan gas pemedih mata ekoran tindakan segelintir peserta himpunan yang melempar mercun dan objek lain kepada anggota keselamatan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Keselamatan, Wiranto berkata, terdapat rancangan untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi menyerbu bangunan Bawaslu, Komisi Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) dan istana negara.

Beliau bagaimanapun memberi amaran tindakan keras akan dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

Prabowo, 67, sebelum ini memberi amaran dakwaan penipuan yang berlaku ketika Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu 2019) pada 17 April lalu bakal mencetuskan kekecohan.

Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia mengetatkan kawalan keselamatan termasuk mengerah ribuan anggota keselamatan, menempatkan trak berperisai dan meriam air di sekitar lokasi panas terutama di Jakarta bagi menangani sebarang ancaman.

Beberapa sekolah di Jakarta turut ditutup minggu ini dan syarikat dilapor membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, berpuluh suspek yang merancang untuk meletupkan bom telah ditahan manakala sekurang-sekurangnya tiga tokoh pembangkang disoal siasat atas dakwaan melakukan pengkhianatan.

Pengumuman mengejut keputusan Pemilu 2019 oleh KPU semalam menyaksikan gandingan Jokowi dan Ma'ruf Amin memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dengan 55.5 peratus undi berbanding 44.5 peratus yang diperoleh gandingan Prabowo dan Sandiaga Uno.

Kemenangan tersebut bermakna Presiden Jokowi mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua dan akan berkhidmat bagi tempoh 2019 - 2024.

Prabowo bagaimanapun dilaporkan membantah keputusan rasmi tersebut dan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Perlembagaan. - Reuters