Dilema pesakit talasemia

Adakah golongan itu boleh menderma darah dan apakah syarat perlu dipatuhi?

A
A
A

ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

DOKTOR, saya mempunyai penyakit talasemia. Terdapat beberapa persoalan bermain di minda saya selama ini. Bolehkah saya mendermakan darah saya? Jika boleh berbuat demikian, apa perlu saya lakukan. Jika tidak boleh, mengapa? Seperkara, adakah saya tetap boleh membantu Pusat Darah Negara walaupun tidak layak menderma darah?

-Jejaka Prihatin, Mohd Adnan Kamarudin, 35, Kajang, Selangor

JAWAPAN:

MENJAWAB soalan berkenaan, ingin saya terangkan bahawa pesakit talasemia tidak digalakkan untuk menderma darah, terutamanya merujuk kepada kes talasemia major.

Pihak tuan boleh berbincang dengan doktor yang merawat untuk keterangan lebih lanjut mengenai status kesihatan tuan.

Sekiranya tuan menghidap talasemia trait, barulah tuan dibenarkan untuk menderma darah. Bagaimanapun, tuan haruslah mematuhi kriteria seperti berikut:

1) Harus sihat tubuh badan.

2) Tidak memerlukan transfusi darah setiap bulan untuk menjalani kehidupan seharian.

3) Haruslah memenuhi kriteria minimum hemoglobin iaitu 12.5 – 18.0 g/dL untuk penderma perempuan dan 13.5–18.0 g/dL untuk lelaki.

Semua penderma darah akan ditentukan kelayakan menderma sebelum berbuat demikian. Pegawai perubatan kami juga akan menilai sama ada keadaan seseorang itu sesuai atau sebaliknya.

Pusat derma darah

Kepada yang tidak layak menderma darah, tuan tetap boleh membantu Pusat Darah Negara dengan pelbagai cara.

Pertama, dengan menjadi penganjur kempen derma darah bergerak.

Artikel Berkaitan:

Tuan juga boleh membantu kami dengan mencari lokasi sesuai yang bakal dikunjungi oleh penderma darah dan seterusnya mengadakan kempen derma darah.

Kedua, tuan juga boleh menolong meningkatkan kesedaran menderma darah dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui perkongsian pengalaman sepanjang menerima transfusi darah.

Seterusnya, mempromosikan kepentingan menderma darah bagi membantu para pesakit yang memerlukan.

Akhir sekali, boleh menyertai program sukarelawan iaitu Adiwira Pusat Darah Negara.

Sila layari laman Facebook Pusat Darah Negara dan tabung darah negeri-negeri lain serta membantu kami share atau like Facebook entri kami untuk membantu menyebarkan maklumat.

Maklumat penderma darah dirahsiakan

SOALAN 2

DOKTOR, saya pernah mendengar cadangan daripada Persatuan Penderma Darah (Pendarah) supaya masyarakat mengambil pesakit talasemia sebagai anak angkat dan menderma darah kepada mereka setiap tiga bulan. Cadangan itu diwujudkan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan darah dalam kalangan pesakit talasemia dapat diatasi. Adakah pendekatan itu sudah dilaksanakan?

- Pesakit Talasemia, Nuraisyah Yusuf, 40, Kuala Lumpur

JAWAPAN:

TERIMA kasih puan dengan cadangan yang menarik itu. Bagaimanapun, ia agak sukar untuk dilestarikan atas faktor-faktor tertentu.

Pertama, Pusat Darah Negara mematuhi akta kerahsiaan penderma darah.

Kami harus menghormati hak dan privasi penderma darah. Buat pengetahuan puan, segala maklumat tentang penderma darah adalah bersifat rahsia dan tidak boleh disebarkan kepada pihak lain.

Kedua, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menyarankan bahawa setiap pendermaan darah haruslah bersifat voluntary non-renumerated iaitu pendermaan adalah bersifat sukarela tanpa mengharapkan sebarang insentif.

Penderma tidak boleh berasa disuruh atau dipaksa oleh pihak lain untuk menderma darah.

Seterusnya, seperti yang diketahui, para penderma darah hanya boleh menderma darah setiap tiga bulan.

Hal itu tidak dapat menampung keperluan pesakit kerana pesakit talasemia memerlukan bekalan darah pada setiap bulan.

Mereka tetap memerlukan bekalan darah daripada pelbagai sumber penderma darah yang lain.

Buat pengetahuan semua, setiap orang mempunyai fenotip darah yang berbeza.

Fenotip ialah antigen yang dapat dikesan pada sel darah merah. Setiap pesakit mempunyai keunikan fenotipnya yang tersendiri.

Sekiranya pesakit sering menerima transfusi darah, terdapat kebarangkalian wujudnya antibodi akibat penerimaan transfusi darah daripada penderma darah yang fenotipnya berbeza.

Perkara itu akan menyukarkan pencarian darah yang sesuai dengan fenotip dan antibodi tersebut.

Dr Haliza Syamimi
Dr Haliza Syamimi

Profil Dr Haliza Syamimi Abdull Hallim:

Kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Darah Negara sebagai Ketua Unit Pemasaran.

ANEKDOT

Talasemia:

- Talasemia ialah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini adalah kerana genetik yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas. Hemoglobin merupakan satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.

- Talasemia ialah penyakit genetik atau keturunan yang mana anak mendapat genetik talasemia daripada ibu bapa. Ia bukan penyakit berjangkit.

- Seorang daripada 20 penduduk Malaysia merupakan pembawa gen talasemia. Di Malaysia, terdapat 600,000 hingga 1 juta pembawa talasemia.

- Berdasarkan statistik (setakat Disember 2018), kira-kira 5,000 daripada 8,042 penghidap talasemia di negara ini berada di tahap kritikal yang memerlukan rawatan berkala melalui pemindahan darah.

Terdapat dua jenis talasemia yang utama iaitu:

Pembawa gen talasemia (talasemia minor)

Pesakit talasemia (talasemia major) Pembawa gen talasemia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan.

- Pengesanan hanya boleh dibuat melalui ujian darah talasemia. Seorang pembawa boleh menurunkan gen talasemia kepada anak-anaknya.

Sumber: www.myhealth.gov.my

*Artikel sempena Hari Talasemia Sedunia