Pernah jual belacan, kena ‘blacklist’

Azizul menunjukkan sebahagian daripada menu istimewa yang dijualnya.
Azizul menunjukkan sebahagian daripada menu istimewa yang dijualnya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Belacan, ikan kering, keropok, burger dan pewangi. Itu antara perniagaan awal yang dibuat pemuda kental ini yang bermula dari bawah sebelum berjaya dengan perniagaannya sekarang, Pokkem Fruits & Juice.

Baru berusia 30 tahun, Muhd Azizul Hakim Aziz cukup matang dengan pancaroba dan jatuh bangun perniagaan, malah detik hitam apabila di ‘blacklist’ menjadikannya lebih kuat dan bersemangat untuk berjaya.

Menceritakan detik awal perniagaannya, Azizul Hakim yang mesra dengan panggilan Pokkem berkata, dia mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan, membuatkannya membuka gerai burger sebaik tamat pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tapi, tanggungjawab sebagai anak sulung daripada lima beradik dan ingin menjadi contoh kepada adik-adiknya mendorong Pokkem menyambung pelajaran di Kolej Polytech Mara, Kuantan.

“Memandangkan saya sudah membuat pinjaman bagi melanjutkan pelajaran, saya mengambil keputusan untuk berniaga untuk menyara kehidupan. Atas nasihat dan didikan ayah, saya menjual hasil laut seperti belacan, ikan kering dan keropok dengan menjaja di sekitar bandar Kuantan.

“Saya juga menjadi pengedar pewangi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dengan tajaan Mara. Tamat belajar, saya membuka kedai ‘Terengganu Heritage’ dengan menjual hasil laut Terengganu dan batik, sutera di Selayang, Selangor,” katanya.

Perniagaan jatuh, kena ‘blacklist’

Menjangkau usia 26 tahun, Pokkem ditawarkan bekerja sebagai pegawai di salah sebuah bank di ibu negara.

Artikel Berkaitan:

Mendapat sambutan hangat, terutamanya dalam kalangan orang muda.(Kanan: Waffle buah-buahan juga ada.)
Mendapat sambutan hangat, terutamanya dalam kalangan orang muda.(Kanan: Waffle buah-buahan juga ada.)

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, perniagaannya jatuh dan di senarai hitam gara-gara menjadi penjamin kepada seorang kenalannya, membuatkan dia hilang kerja di bank dan segala-galanya, sebelum pulang ke Terengganu sebatang kara.

“Saya bernasib baik kerana ibu bapa dan keluarga menjadi tulang belakang saya, membuatkan saya bangkit kembali.

“Saya cuba nasib bekerja dengan syarikat Terengganu Agrotech Development pada tahun 2015 sebagai Pegawai Pemasaran. Antara tugas saya adalah memasarkan buah Melon Manis Terengganu supaya dikenali seluruh negara.

“Saya juga membuat promosi ke luar negara sehingga Singapura dan Korea Selatan. Dari situ, saya kenal ramai orang dan jutawan buah-buahan. Tidak lupa kepada pekebun Melon Manis Terengganu, kejayaan mereka semua membuatkan saya bertambah semangat untuk kembali bangkit,” katanya.

Akhirnya pada Disember 2017, dia nekad berhenti kerja dan membuka perniagaannya sendiri iaitu Pokkem Fruits & Juice.

Bermula dengan hanya dua pekerja, Pokkem kini boleh berbangga dengan perniagaannya yang mula berkembang dan kini mempunyai lapan pekerja dan mempunyai dua cawangan di Kuala Terengganu iaitu di Paya Bunga Square dan di Mayang Place, Batu Burok.

Bingsu buah-buahan inspirasi Korea

Pokkem Fruits & Juice menawarkan lapan menu utama iaitu pelbagai jenis bingsu buahan-buahan, juice milkshake, waffle fruits, coklat strawberi, kek cheese mango, rojak buah, pancake dan aiskrim buah-buahan.

Menu istimewa yang dibawakannya adalah bingsu buah-buahan inspirasi dari Korea.

Bingsu buah-buahan merupakan menu hangat yang menjadi pilihan pelanggan.
Bingsu buah-buahan merupakan menu hangat yang menjadi pilihan pelanggan.

Bingsu merupakan ais batu yang dikisar lembut dan untuk mengeraskan ais itu, mengambil masa selama dua hari selain dihidangkan bersama buah-buahan segar.

“Saya pernah ke Korea Selatan sewaktu mempromosikan Melon Manis Terengganu. Ketika itu, saya kenal bingsu dan jatuh cinta dengan rasanya yang enak. Saya belajar cara membuatnya di Thailand dan dengan saudara saya.

“Ia umpama ABC tapi versi Korea. Saya olah dengan adunan sendiri seperti tambah banyak buah-buahan, supaya pelanggan boleh imbangkan kemanisan buah-buahan dan susu,” katanya.

Jelas Pokkem, dia berhasrat untuk mengeluarkan menu baharu selepas hari raya nanti, di samping memperkenalkan mobil bergerak berjenamakan PFJ.

Selain itu, dua lagi cawangan baharu yang dijangka akan menyusul iaitu di Marang dan Ipoh.

“Sebenarnya, banyak lagi perancangan saya untuk mengembangkan bisnes ini, tapi saya tak mahu gopoh tapi buat satu per satu. Antara harapan saya adalah membuka cawangan PFJ di seluruh negara dan memperbanyakkan mobil bergerak.

“Jika ada rezeki, saya ingin memiliki produk air kotak atau air botol buah-buahan dengan jenama sendiri pada masa akan datang,” katanya.