Bersedekah sampai membazir?

Makanan yang dibazirkan
Makanan yang dibazirkan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Beberapa aktivis kemasyarakatan menegur perbuatan membazir oleh kumpulan yang memberi makanan kepada golongan miskin kota pada bulan Ramadan di kawasan Chow Kit.

Aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi mengkritik perbuatan segelintir sukarelawan yang terlalu pemurah sehingga mengundang kepada lambakan lebihan makanan.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang suka bagi makan buka puasa,moreh dan sahur untuk gelandangan, rakan jalanan di Chow Kit.

“Kalau tanya betul-betul kepada mereka nak apa, mereka nak cakap duit, tapi tak bagi pula... kita ada makanan. Kalau mereka nak balik kampung, belikan mereka tiket.

“Tapi tak mengapa, di bulan Ramadan bagus untuk kita bagi makan. Baju pun sana, longgokkan saja sebab itulah adab mulia sini,” bidasnya dalam satu hantaran Facebook.

Sebahagian dari makanan yang dibazirkan begitu sahaja.
Sebahagian dari makanan yang dibazirkan begitu sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL), Ezzwandi Ngadi berkata, isu pembaziran lambakan makanan daripada sukarelawan ini bukanlah perkara baharu dan ia semakin parah pada bulan Ramadan.

Selain itu, pengasas Buku Jalanan Chow Kit (BJCK), Siti Rahayu Baharin mengakui golongan miskin kota terutamanya di Chow Kit sememangnya hidup susah dan memerlukan bantuan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi bantuan yang diterima, disusun secara berstruktur oleh NGO setempat dan pihak berwajib adalah lebih daripada mencukupi. Malah jika mereka menggunakan sebaiknya bantuan yang diberi, mereka ini sudah boleh membina kehidupan secara lebih bermaruah.

“Tapi sayangnya, kita ini pun hanya berminat menyelesaikan masalah di depan mata dengan segera. Tanpa kita sedar, kita sedang mencipta permasalahan baharu daripada pertolongan kita tadi,” keluhnya.

Membazir
Membazir

Beliau menyatakan rasa kecewa dengan sikap masyarakat yang membantu tanpa memikirkan langkah penyelesaian.

“Saya tidak mahu menjadi pembantut untuk orang berbuat kebaikan dan bersedekah, apatah lagi mendabik dada kononnya apa yang kami lakukan saja betul.

“Tetapi, tuan dan puan, kita ini hendak membina masyarakat. Kita wajib fikir lebih panjang dan dalam. Masalah ini berlaku saban tahun, saban hari,” katanya.