KPDNHEP Selangor lancar skim harga maksimum

Loy Sian (dua dari kanan) bersama Zikril (dua dari kiri) meninjau harga barangan selepas pelancaran SHMMP di Tesco Extra Bukit Puchong hari ini
Loy Sian (dua dari kanan) bersama Zikril (dua dari kiri) meninjau harga barangan selepas pelancaran SHMMP di Tesco Extra Bukit Puchong hari ini
A
A
A

PUCHONG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula hari ini sehingga 19 Jun depan.

Majlis pelancaran disempurnakan Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi Hee Loy Sian.

Menurut Loy Sian, pada tahun ini, sebanyak 27 jenis barangan termasuk dalam SHMMP berbanding 21 barangan sebelum ini.

"Pada tahun ini, terdapat perubahan barangan berbanding sebelum ini di mana ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering dimasukkan dalam pelaksanaan skim harga maksimum ini.

"Di Selangor, hanya 24 daripada 27 barangan dimasukkan ke dalam skim harga maksimum ini," katanya ketika sidang media selepas pelancaran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 27 barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan tempoh SHMMP hari raya Aidilfitri tahun ini lebih panjang iaitu 30 hari berbanding 15 hari sebelum ini dan membabitkan penambahan senarai barangan iaitu 27 jenis berbanding 21

Difahamkan, antara barangan yang di kawal di bawah SHMMP ini adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging lembu tempatan, daging lembu import, daging kerbau import (India), cili kering, tomato, kacang panjang dan lain-lain lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, semua barangan yang disenaraikan itu diletakkan di bawah SHMMP selepas mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

"Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan dalam memastikan harga berpatutan dan memberi manfaat kepada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata bermula dari 6 Mei hingga 20 Mei tahun ini, sebanyak 5889 gerai bazar Ramadan telah diperiksa oleh pihaknya di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima premis telah dikenakan amaran berikutan melanggar undang-undang yang ditetapkan.

"Untuk jumlah keseluruhan premis yang diperiksa, sejak awal tahun hingga 20 Mei sebanyak 27,196 premis telah diperiksa oleh pihak kami," katanya.

Tambah beliau, KPDNHEP menyediakan pelbagai saluran buat orang awam bagi menyalurkan sebarang maklumat berhubung isu harga.

"KPDNHEP mempunyai pelbagai saluran antaranya Skuad Aduan Rakyat (STAR), portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, call central 1800-886-800, Enforcement Command Centre (ECC) dan bermacam lagi," katanya.