Selangor sasar kutip caj 20 sen beg plastik tahun depan

Loy Sian (kiri) meninjau harga barangan selepas pelancaran SHMMP di Tesco Extra Bukit Puchong hari ini
Loy Sian (kiri) meninjau harga barangan selepas pelancaran SHMMP di Tesco Extra Bukit Puchong hari ini
A
A
A

PUCHONG - Kerajaan Selangor menyasarkan mengutip sendiri bayaran caj 20 sen penggunaan beg plastik melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula 1 Januari 2020.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi Hee Loy Sian berkata, buat masa ini pihaknya sedang mengkaji mekanisme terbaik bagi pelaksanaan kutipan itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, wang yang dikutip melalui PBT itu akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah untuk diserahkan kepada kerajaan Selangor bagi melaksanakan program-program khidmat sosial korporat (CSR) melibatkan alam sekitar.

"Kita akan gunakan duit itu untuk laksanakan program-program alam sekitar seperti tanaman pokok dan menghasilkan lebih banyak beg kitar semula," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayan di Tesco Extra Bukit Puchong hari ini.

Sebelum ini, Loy Sian memaklumkan kerajaan Selangor bercadang agar kutipan caj 20 sen penggunaan beg plastik diserahkan kepada semua PBT di negeri ini untuk digunakan dalam program CSR.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Kajang memaklumkan, sebelum ini sememangnya menyerahkan urusan kutipan caj berkenaan kepada peniaga dan menggalakkan mereka untuk menggunakan wang berkenaan bagi program CSR.

"Langkah itu juga bagi membolehkan mereka mengeluarkan beg kitar semula kepada pengguna, namun tidak semua peniaga mengambil langkah tersebut.

"Kerajaan Selangor faham ramai yang mempertikaikan ke mana wang itu pergi dan disebabkan itu kita sedang mencari kaedah terbaik untuk mengutip sendiri caj berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan: