70 kertas siasatan rasuah JPJ P. Pinang dibuka: Azam Baki

A
A

KUALA LUMPUR - Sekurangnya-kurangnya 70 kertas siasatan berhubung kes rasuah melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah dibuka, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata siasatan kes itu kini berada di penghujungnya dan kertas pertuduhan akan disiapkan secepat mungkin.

"Selain itu, beberapa kes rasuah berkaitan JPJ Pulau Pinang dijangka dibawa ke mahkamah sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri untuk tindakan selanjutnya.

"Ramai lagi akan dipanggil dalam kes itu dan kami akan memfokuskan isu ini di JPJ Pulau Pinang setakat ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes rasuah JPJ Pulau Pinang.

Pada 16 April lepas, SPRM menahan 31 individu termasuk 23 anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri itu.

Penahanan 28 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun itu bagi membantu siasatan dan SPRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ. -Bernama