KPKT kaji penstrukturan agensi perumahan kerajaan

Raja Kamarul Bahrin Shah (kanan) ketika melihat perkembangan terkini projek PR1MA di Lubok Jong.
Raja Kamarul Bahrin Shah (kanan) ketika melihat perkembangan terkini projek PR1MA di Lubok Jong.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menjalankan kajian penstrukturan ke atas beberapa agensi di bawah seliaannya termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam usaha memperkasakan lagi gerak kerja badan berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, kajian penstrukturan yang dilakukan oleh sebuah syarikat profesional itu bertujuan mengelakkan berlakunya pertindihan tugas antara agensi di bawah selia KPKT.

"Hasil kajian ini juga kita akan kumpulkan dan wujudkan satu pangkalan data.

"Ini bertujuan menjadikan pengurusan perumahan negara menjadi lebih teratur dan efisien," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan melihat perkembangan terkini projek PR1MA di Lubok Jong, hari ini.

Menurutnya, dapatan kajian itu dijangka akan diperoleh selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Katanya, sebaik sahaja dapatan kajian itu diperoleh pihaknya akan memaklumkan perkara tersebut.

"Kita akan memberikan keputusan yang terbaik dalam kerja-kerja penstrukturan semula ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya juga sedang giat berusaha membantu rakyat terutama golongan bawah 40 (B40) untuk memiliki rumah.

Katanya, antaranya ialah menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan bagi memudahkan golongan B40 mendapat pinjaman perumahan.