Gabungan Teksi Malaysia buat laporan SPRM ke atas Anthony Loke

Anthony Loke
A
A

PUTRAJAYA - Gabungan Teksi Malaysia mendakwa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kebelakangan ini menggunakan jawatannya bagi membuat banyak pindaan kepada peraturan-peraturan sedia ada sehingga memperjudikan keselamatan pelbagai pihak termasuk polis.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain mendakwa, timbul keraguan terhadap perkara tersebut dan pihaknya merasakan ada perkara tidak betul sedang berlaku dalam kementerian itu.

"Sehubungan dengan itu pada petang ini, kami ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat laporan rasmi terhadap Loke," katanya pada satu sidang media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga hari ini telah menghantar surat permohonan kelapan kepada Loke dan kelima buat Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengadakan sesi perbincangan khusus melibatkan isu e-hailing.

"Selama ini kami dituduh sebagai pihak pemberontak, tidak pernah berpuas hati, tidak tahu menghormati mereka dan mempunyai agenda politik. Kami terlebih dahulu telah menulis surat kepada kedua-dua pihak bagi mengadakan sesi perbincangan secara demokrasi, namun pintu rundingan ditutup dan keputusan diambil tanpa melalui perbincangan.

"Mereka juga menggunapakai semua keputusan yang dibuat pada zaman kerajaan terdahulu. Kami dilantik oleh hampir seluruh pertubuhan teksi di negara ini untuk memperjuangkan nasib mereka dan bukan menjadi pengampu kepada mana-mana pihak," katanya.

Kamarudin menafikan pihaknya pernah menuntut e-hailing diharamkan sebaliknya meminta kesamarataan yang benar-benar adil tetapi telah dimanipulasikan.

"Keengganan Loke menghormati nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyebabkan Perdana Menteri dimalukan di Langkawi oleh beberapa pemandu teksi yang gagal mengawal emosi," katanya.