PBJ tolak Amril sebagai Presiden Kafa

Amri dan Kamarudin
Amri dan Kamarudin
A
A
A

KOTA BHARU – Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz bukan calon pilihan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk diangkat selaku presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan.

Perkembangan terbaharu ini pasti mencetuskan persoalan siapa yang akan menduduki kerusi nombor satu itu berikutan sebelum ini ahli perniagaan berusia 31 tahun dilihat calon tunggal yang menawarkan diri mahu merampas 'takhta' dari Bibi Ramjani.

Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohammad berkata, pihaknya terdiri daripada tujuh ahli gabungan yang menuntut perubahan terhadap pucuk pimpinan Kafa itu menolak ‘cakap-cakap’ bahawa mereka bersedia mencalonkan Amril.

“Setakat ini dia (Amril) tidak ada datang berjumpa dengan PBJ untuk minta dicalonkan. Secara logik dan berfakta, dia bukan calon yang digembar-gemburkan menjadi pilihan kita, sebelum ini.

“Malah gabungan PBJ juga tidak akan melantik dia sebagai calon untuk menggantikan tempat Bibi Ramjani," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kamarudin yang merupakan jurucakap tujuh PBJ berkenaan sebaliknya menjelaskan mereka sudah mempunyai calon sendiri yang dilihat berpotensi untuk menduduki kerusi panas badan induk bola sepak Kelantan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti individu berkenaan memandangkan mereka kini hanya mahu menumpukan usaha untuk memastikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dilaksanakan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Kita sudah ada calon sesuai tapi saya tak boleh beritahu sekarang. Perbincangan dengan individu ini sudah berlangsung dan dia menunjukkan respon positif.

Artikel Berkaitan:

“Dia ada pengalaman dalam aktiviti sukan tapi bukan bola sepak. Namun PBJ yakin dia mampu memulihkan semula maruah bola sepak Kelantan yang terjejas teruk, ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin memberitahu, pihaknya akan menyerahkan surat bagi mendesak Kafa mengadakan EGM memilih barisan kepimpinan baharu, seminggu selepas sambutan perayaan.

“Kita sudah buat perjumpaan bersama tujuh PBJ dan sepakat untuk menghantar surat kepada Kafa selepas hari raya nanti,” katanya.