Saman Petronas selesai, Kerajaan Persekutuan perlu diteliti

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengesahkan penarikan saman royalti minyak dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), selesai hari ini.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, saman terhadap Kerajaan Persekutuan sebagai pencelah, belum menemui titik noktah.

Ini kerana katanya, terdapat beberapa perkara teknikal perlu dibincangkan dengan secara terperinci.

“Bagi kita, (Kelantan) dah tarik balik saman secara total dan tidak akan fail semula saman di masa depan.

“Tinggal lagi, dengan Kerajaan Persekutuan, sebab kita dimaklumkan oleh penasihat undang-undang, ada beberapa perkara teknikal perlu dibincangkan dengan pihak Peguam Negara,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Ditanya mengenai perkara teknikal tersebut Ahmad berkata, pihaknya belum mendapat maklumat lengkap kerana ia hanya dapat diselesaikan menerusi mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan tarik balik saman terhadap Petronas

Pagi tadi, kes saman Kerajaan Kelantan terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak akhirnya selesai selepas kerajaan negeri itu menarik balik tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu disahkan Peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan negeri Kelantan ketika ditemui pada prosiding pengurusan kes itu.

Aleeya Elyana berkata pihaknya menarik balik saman itu melalui notis dan memutuskan untuk tidak meneruskan tuntutan berkenaan pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun menurutnya, kes saman terhadap Kerajaan Persekutuan masih diteruskan susulan tiada sebarang arahan berhubung kes saman itu.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan selaku plaintif memfailkan saman terhadap Petronas sebagai defendan tunggal.

Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Kerajaan Kelantan menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.