Johor beri amaran terakhir kepada pengusaha sawit, ayam

Jimmy Puah ketika sidang media di sini, hari ini.
A
A

NUSAJAYA - Kerajaan Johor memberi amaran terakhir kepada pengusaha-pengusaha kelapa sawit dan ternakan ayam yang tidak bertanggungjawab di negeri ini hingga menyebabkan pencemaran sungai.

Exco Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan serius dan maksimum susulan beberapa sisi pencemaran yang berlaku hingga menjejaskan berjuta-juta pengguna di negeri ini.

"Kita tak akan kompromi lagi dengan pencemaran sungai Johor. Sungai ini merupakan pembekal kepada tujuh loji rawatan air dan menyumbang kepada hampir 50 peratus bekalan air di Johor selatan.

"Kerajaan akan ambil tindakan tegas dan maksimum selepas ini kerana sudah tiba masa kita hantar mesej bahawa kerajaan serius. Kita pun ada had, jika teruk sangat kita tak teragak-agak gunakan undang-undang," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, setiap kilang sawit dan ternakan ayam perlu memiliki peraturan sendiri dalam menjaga alam sekitar.

"Saya nak semua kilang sawit dan industri ternakan ayam buat peraturan sendiri untuk jaga alam sekitar dan urus pembuangan mereka.

"Sekiranya ada unsur kecuaian akan datang, kerajaan akan guna kuasa di bawah Enakmen Air 1921 pindaan 2014 di mana di bawah Seksyen 7 kita ada kuasa untuk batalkan lesen untuk ambil air mentah dan di bawah Seksyen 7(a), kerajaan boleh hadapkan ke mahkamah.

"Denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Memang setakat ni kita tak pernah dakwa lagi, cuma ada kes pernah dikompaun dan lesen dikembalikan," katanya.

Beliau juga memberi amaran kepada pengusaha agar tidak mengugut kerajaan dengan mengatakan tindakan tegas termasuk membatalkan lesen hanya akan menyebabkan ramai orang tempatan kehilangan pekerjaan.

"Apabila saya berurusan dengan pengusaha ini mereka kata kos tinggilah atau kalau tutup akan menyebabkan orang tempatan hilang kerja.

"Kamu jangan ugut saya, kalau tak ada kerja, saya carikan. Sebab isu sungai ini sensitif terutama selepas kes Sungai Kim Kim. Kebanyakan sungai yang tercemar di Malaysia, hampir separuh ada di Johor. Maknanya mesti ada satu titik mula untuk jaga sungai kita," katanya.

Terdahulu beliau telah memanggil 30 pengusaha ladang kelapa sawit dan penternakan ayam di sekitar Johor bagi menerangkan pendirian kerajaan negeri terhadap isu pencemaran sungai.

Katanya, sepanjang PH memerintah negara setakat Mei 2019, sebanyak tiga kes pencemaran Sungai Johor telah direkodkan.

"Di mana saya rasa terlalu banyak dan paling dahsyat pada April yg melibatkan kilang kelapa sawit di Sedenak, Kulai. Loji rawatan air terpaksa ditutup 21 jam dan untuk pemulihan sepenuhnya memerlukan 48 jam lagi.

"Hampir 3 hari rakyat Johor di selatan mengalami masalah air dan dianggarkan 1.85 juta orang terjejas akibat pencemaran ammonia terbaharu ini jadi sudah tiba masa panggil semua pengusaha untuk dialog dan beritahu pendirian kerajaan," katanya.

Beliau turut memaklumkan lesen pengusaha kilang kelapa sawit yang menyebabkan pencemaran di Sedenak itu telah dibatalkan serta merta dan tidak dikembalikan sehingga hari ini.

Mengikut rekod, terdapat lapan kilang sawit beroperasi di sepanjang sungai Johor serta 15 ternakan ayam di Kulai, tiga di Kota Tinggi dan sembilan di Kluang.

Katanya, pemahaman dan kesedaran dalam kalangan pengusaha itu sendiri penting bagi memastikan kilang mereka diurus dengan bertanggungjawab.

"Dalam dialog itu saya seru mereka bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar itu bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita tak boleh pantau 24 jam.

"Kalau mereka sendiri tak faham, susah untuk kita pelihara sungai kita. Ini tanggungjawab semua, anda pun ada keluarga di sini, kalau ada masalah air, keluarga anda juga terjejas.

"Kamu (pengusaha) nak untung dengan buang saja di sungai tapi mengakibatkan 1.8 juta orang tak ada air, saya tak tahulah kamu boleh tidur malam atau tidak," katanya.

Tambahnya, tanpa kesedaran, hukuman dijatuhkan mahkamah sekalipun tidak mampu menangani isu pencemaran sungai itu.