Rogol anak saudara lembam, pemotong rumput dijel 30 tahun

Tertuduh dihukum 30 tahun penjara dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana merogol anak saudaranya yang lembam.
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang pemotong rumput dihukum 30 tahun penjara dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana tergamak merogol anak saudaranya yang lembam dan merupakan pelajar kurang upaya (OKU).

Keputusan dibuat selepas tertuduh, 41, dari Besut mengaku salah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Besut, antara jam 2 petang hingga 6 petang pada 2 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh mengulangi kesalahan sama di lokasi sama antara jam 2 petang hingga 6 petang pada 5 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 8 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, guru mangsa bertanya kepada mangsa selepas melihat pelajarnya itu berada dalam keadaan muram dan tidak memberi perhatian dalam pelajaran ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di daerah ini kira-kira jam 9 pagi pada 7 Mei lalu.

Guru wanita itu berjumpa dan bertanya masalah yang dihadapinya sebelum mangsa memaklumkan dirogol tertuduh.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, tertuduh ditahan di sebuah rumah di Besut kira-kira jam 1 pagi pada 8 Mei lalu.