Tak serik proses, jual air ketum

Azmi (kiri) bersama Nik Ali menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam operasi semalam.
A
A

PASIR PUTEH - Lelaki berusia 40 tahun yang ditahan bersama air ketum di Cherang Ruku semalam mempunyai rekod lampau membabitkan kes sama.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Superintenden Azmi Ahmad berkata, lelaki itu didapati tidak serik berdasarkan nilai rampasan semalam lebih besar.

Katanya, dalam operasi jam 4.30 petang di sebuah rumah semalam, lelaki itu ditahan bersama 100 liter air ketum yang diisi dalam 70 botol plastik lut sinar dan daun ketum yang sudah direbus bernilai RM2,100.

"Kita juga merampas balang gas, dapur dan periuk besar yang digunakan lelaki terbabit untuk memproses ketum.

"Kita percayai daun ketum diperolehi dari negeri utara semenanjung itu diproses untuk pasaran setempat," katanya.

Azmi berkata, lelaki itu juga positif methamphetamine dan ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Operasi berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai itu katanya, membabitkan lapan anggota PPM Kelantan diketuai Asisten Superintendan Nik Ali Nik Mat.

"Sebanyak 40 botol air ketum ditemui di ruangan dapur dan selebihnya yang siap diproses di dalam peti ais.

"Kita membawa barang rampasan ke Markas Taktikal PPM Tok Bali ini untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media hari ini.

Azmi (kiri) bersama Nik Ali menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam operasi semalam.