Enam beranak susah dah lama dapat bantuan

Sahar (kanan) beramah mesra bersama Norazuha ketika melawat keluarga tersebut di Permatang Badak di sini semalam.
Sahar (kanan) beramah mesra bersama Norazuha ketika melawat keluarga tersebut di Permatang Badak di sini semalam.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Paya Besar menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kemiskinan dan kepayahan yang dialami enam beranak di Permatang Badak, di sini tidak dihiraukan oleh barisan pemimpin setempat.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana keluarga Norazuha Muda, 35, menerima pelbagai bantuan daripada wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, semakan pihaknya mendapati keluarga berkenaan pernah menerima pelbagai bantuan daripada mantan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail dan juga mantan ADUN Panching, Datuk Zaili Besar.

"Saya juga sudah melawat keluarga tersebut di rumahnya dan telah melihat apa keperluan yang diperlukan oleh mereka sekeluarga.

“Saya dimaklumkan dua anak Norazuha yang berusia tujuh tahun dan 16 bulan tidak mempunyai MyKid kerana tidak pernah mendaftarkan kelahiran mereka.

“Jadi saya sudah membawa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan maklumat lengkap bagi membantu Nor Azuha mendaftarkan kelahiran anaknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Media semalam melaporkan kemiskinan yang dialami Norazuha bersama suaminya, Mohd Hussin Abdul Sukor, 36, serta empat anak mereka sehingga memaksa tinggal di rumah yang selayaknya dipanggil pondok.

Mereka hanya bergantung kepada Mohd Hussin yang bekerja sebagai pengutip besi buruk dengan pendapatan yang tidak menentu.

Artikel Berkaitan:

Kisah Norazuha itu mendapat perhatian netizen yang bersimpati dengan nasib enam beranak itu dan tidak kurang juga ada menyelar wakil rakyat kawasan berkenaan yang dianggap gagal membantu keluarga itu.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, keluarga berkenaan telah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan dan bukannya bantuan zakat seperti yang dinyatakan.

“Dua anak Norazuha menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM200 seorang dan bantuan berkenaan mencukupi untuk menampung keperluan anaknya itu,” katanya.

"Saya amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang kurang berkemampuan namun mereka seharusnya merujuk kepada pemimpin setempat seperti ketua kampung untuk mendapatkan maklumat lengkap sebelum ianya ditularkan di dalam media sosial," katanya.