MB mahu masjid di NS lebih mesra kanak-kanak

Aminuddin (tiga dari kiri) semasa merasmikan program beriktikaf di masjid di Masjid At-Taqwa Paroi, semalam.
Aminuddin (tiga dari kiri) semasa merasmikan program beriktikaf di masjid di Masjid At-Taqwa Paroi, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri menasihatkan kepada semua masjid di negeri ini mengamalkan konsep mesra kanak-kanak bagi memperkasakan institusi itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, anak-anak yang berada di masjid perlu dilatih untuk beriktikaf dan bukannya dimarahi atau diherdik.

Katanya, masjid di negeri ini perlu berubah untuk memastikan kanak-kanak juga mempunyai tempat di dalam masjid dan ibu bapa mereka boleh bersembahyang dengan lebih selesa, tanpa perlu bimbang anak-anak mereka.

"Mereka (kanak-kanak) ini adalah generasi akan datang yang perlu diraikan kedatangan mereka ke masjid, untuk menarik minat mereka supaya mendekati masjid.

"Kanak-kanak perlu diraikan bukan dimarah atau diherdik, biar mereka berlari dan bermain di ruang belakang, kerana itu di namakan kanak-kanak, kalau kita marah, herdik mereka nanti minat mereka nak datang masjid hilang.

"Kita tidak mahu kanak-kanak ini fikir jika datang ke masjid nanti kena marah, sepatutnya mereka ini diraikan dan diberi tunjuk ajar untuk sayangi masjid, bukan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Negeri Sembilan Beriktikaf di Masjid di Masjid At Taqwa Paroi di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali, Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar, ADUN Paroi merangkap Exco Belia dan Sukan, Taufek Abdul Ghani dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin (tengah) semasa merasmikan program beriktikaf di masjid di Masjid At-Taqwa Paroi, semalam.
Aminuddin (tengah) semasa merasmikan program beriktikaf di masjid di Masjid At-Taqwa Paroi, semalam.

Tambahnya, beliau turut mencadangkan agar penyediaan sudut bacaan atau sudut kanak-kanak perlu ada dalam masjid, selain meluaskan lagi kawasan masjid sebagai salah satu langkah untuk mencapai matlamat ini.

Dalam pada itu, sebanyak 40 buah masjid di negeri ini akan menjadi tuan rumah pada program ‘Negeri Sembilan Beriktikaf ‘ yang akan melibatkan 1,400 pelajar dari 50 buah sekolah yang dijangka bermula 24 hingga 26 Mei ini.

Aminuddin berkata, program ini turut melibatkan 200 belia dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pejabat Belia Daerah dan kawasan DUN. Bagi menjayakan program ini, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan sebanyak RM260,550 260 kepada JHEAINS dalam memastikan program yang dirancang ini berjaya dilaksanakan.