Global Royalty Trading mohon mencelah saman sita barang kemas Rosmah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pembuat barang kemas, Global Royalty Trading buat permohonan mencelah dalam kes saman sita Kerajaan Malaysia terhadap barang yang dirampas dari rumah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut peguam syarikat tersebut, David Gurupatham, permohonan itu akan dibuat semasa pengurusan kes pada 24 Mei di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. “Kami sudah menulis kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminta butiran mengenai saman itu.

“Sebaik sahaja kami mempunyai butiran saman, kami akan campur tangan untuk mengesahkan sama ada 44 barang kemas itu termasuk di dalamnya.

“Sekiranya mana-mana bahagian daripada 44 barang kemas itu ada, kami akan memohon untuk campur tangan bagi mendapatkannya kembali kerana pelanggan kami adalah pemilik sah bagi barangan yang dirampas," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laporan yang dipetik daripada portal berita, The Malaysian Insight.

Pada Jun tahun lalu, Global Royalty Trading yang berpangkalan di Beirut telah memfaikan saman terhadap Rosmah kerana didakwa gagal membayar barang kemas bernilai AS$14.79 juta (RM60 juta) dan menuntut supaya barang itu dipulangkan.

Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, mereka telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Jelas syarikat itu, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No 926 berkaitan barang kemas tersebut semasa serahan dibuat.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Mereka juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau Rosmah perlu bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

Bagaimanapun Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai 2018 menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.

Dalam pada itu, David berkata, sekiranya ada barangan kemas itu tidak berada dalam simpanan polis selepas rampasan, Global Royalty akan mendapatkannya semula atau diberi pampasan penuh melalui saman sivil terhadap Rosmah.