Aksi pencuri di surau tular

Kelibat suspek sedang melakukan kegiatan mencuri berjaya dirakam menerusi CCTV di surau terbabit. Gambar kecil, suspek yang dikesan melakukan kegiatan tersebut di Surau Al Ulum, Kota Damansara.
Kelibat suspek sedang melakukan kegiatan mencuri berjaya dirakam menerusi CCTV di surau terbabit. Gambar kecil, suspek yang dikesan melakukan kegiatan tersebut di Surau Al Ulum, Kota Damansara.
A
A
A

PETALING JAYA - Beberapa klip video merakamkan aksi seorang pencuri di sebuah surau tular di media sosial sejak semalam.

Difahamkan, kejadian yang dipercayai berlaku di Surau Al Ulum Seksyen 9, Kota Damansara pada Ahad lalu itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di surau terbabit.

Menerusi klip berdurasi 2 minit 30 saat itu, kelihatan seorang lelaki sedang mundar-mandir di belakang jemaah yang sedang menunaikan solat Asar di surau berkenaan.

Lelaki itu kemudiannya dilihat memasuki ruang solat jemaah wanita dan mula menggeledah barangan mereka yang ditinggalkan di bahagian belakang.

Selain mencuri telefon bimbit, suspek terbabit turut dikesan memeriksa dompet jemaah wanita dan mencuri wang milik mereka sebelum bergegas meninggalkan ruang solat berkenaan.

Menurut bilal surau terbabit, Azril Dino Abdul Malik, suspek berkenaan dikesan datang ke rumah ibadah itu sejak waktu Zohor namun dia melakukan kegiatan tersebut sewaktu jemaah sedang menunaikan solat Asar.

Menerusi rakaman CCTV, Azril berkata individu berkenaan juga tidak pernah dilihat menunaikan solat di surau berkenaan sebelum ini.

"Jika nak diikutkan, sudah lebih 10 kejadian kecurian berlaku dalam tempoh hampir 10 tahun ini malah pihak jawatankuasa sentiasa mengingatkan jemaah agar memastikan barangan milik mereka terjamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Azril berkata ahli keluarga mangsa terlibat turut membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara berhubung kejadian itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din juga mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian itu.

Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda, atau penjara dan sebat bagi kesalahan kedua.